NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kegagalan Anwar jadi PM, Amanah dan PKR bertikam lidah ?


Sejak kegagalan Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri baru-baru ini, beberapa gesaan yang mempertikaikan kepimpinan beliau menyebabkan bibit perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH) mula kedengaran.

Selain DAP diwakili Tony Pua dan Ong Kian Ming yang mempersoalkan langkah politik PH sebelum ini, beberapa pemimpin Amanah dan PKR mulai secara terbuka menunjukkan pertelagahan berhubung hala tuju parti masing-masing.

Ketua Amanah Bukit Bintang Ahmad Asri Talib semalam mengeluarkan kenyataan mendesak kepimpinan partinya mewujudkan PH Plus serta menukar ketua pembangkang yang baru bagi menggantikan Anwar.

“Dasar ‘grand coalition’ Amanah perlu direalisasikan dan jangan dibunuh kerana tekanan mana-mana pihak. Menukar ketua pembangkang adalah jalan terbaik bagi mengembalikan kepercayaan rakyat dan membina kembali kerajaan yang dihormati,” katanya.

Asri berkata, ramai lagi calon boleh diketengahkan seperti Dr Mahathir Mohamad, Shafie Apdal atau mereka yang dipersetujui dalam PH Plus.

Membidas kenyataan tersebut, aktivis PKR Sarawak Iswardy Morni mendakwa Amanah tidak sedar diri sedangkan parti itu sendiri sudah hampir lumpuh di Sarawak.

“Amanah di Sarawak hampir lumpuh. Dari rundingan lebih sepuluh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Amanah pada PRN Sarawak akan datang, mungkin tinggal dua saja. Itu pun salah satu kerusi nak tawarkan ke saya sebab Amanah tidak ada calon dan jentera.”

“Kalau Sarawak pun tak boleh nak jaga, tak perlu komen lebih-lebih tentang sama ada Anwar boleh bawa majoriti ke tidak atau patut bawa ketua pembangkang baru atau tidak.”

Bagaimanapun, pemimpin PKR dan Amanah menafikan apa yang disifatkan sebagai “khabar angin” mengenai perkara tersebut, memberitahu Astro Awani tidak wujud gesaan supaya Anwar meletakkan jawatan.

Rentetan perbalahan tersebut, Pengarah Pilihanraya Pemuda PKR Fahmi Zainol secara terbuka mencadangkan supaya partinya bergerak solo selepas ini.

Cadangan untuk PKR bergerak sendirian itu dilontarkan bekas aktivis mahasiswa itu semalam dan ia diulangi sekali lagi hari ini.

“Saya sekali lagi lontarkan persoalan. PKR perlu bergerak solo. Setuju? Bergerak solo bukan bermakna lawan antara parti pembangkang, bergerak solo juga bukan bererti tidak berkawan dengan sesiapa,” tegas Fahmi dalam satu ciapan akaun Twitternya.

“Cuma bukanlah berada dalam bentuk gabungan. Kita masih berkawan, kita masih lawan musuh yang nyata.”

Sebelum ini, Anwar sudah beberapa kali mendakwa PH sudah memiliki sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan, sekali gus membolehkan beliau menjadi perdana menteri.

Dakwaan demikian diumumkan bekas timbalan perdana menteri itu pertama kali pada 2008 ketika Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan perdana menteri.

Usaha beliau menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu bagaimanapun gagal.

Anwar mendakwa proses menukar kerajaan pada 2008 tersebut terbantut kerana sidang khas Dewan Rakyat tidak diadakan dan 40 ahli Parlimen dari BN yang menyokongnya diterbangkan ke Taiwan untuk menghadiri seminar.

Sejak awal tahun ini Anwar beberapa kali berkata dirinya memiliki jumlah angka yang “kuat, kukuh dan meyakinkan” untuk dilantik perdana menteri.

Beliau bahkan dilihat bersama-sama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dan bekas perdana menteri Najib Razak menjalankan kempen untuk menjatuhkan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin.

Selepas asakan mereka berjaya mendapatkan lebih sepuluh ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional, Muhyiddin akhirnya meletakkan jawatan bagi mengakhiri kemelut politik akibat asakan Anwar dan pemimpin Umno tersebut.

Bagaimanapun, ketika pengesahan surat akuan bersumpah kepercayaan terhadap calon perdana menteri dilakukan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Ternyata Anwar tidak memiliki sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, sebaliknya sejumlah 114 ahli Dewan Rakyat mencalonkan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri baru.

Sementara itu timbul pertikaian berhubung angka sokongan terhadap Anwar di mana ada yang mengatakan 105 dan ada juga yang mengatakan hanya 92 sahaja.

Ismail kemudian dilantik menjadi perdana menteri oleh Agong selepas beliau didapati memiliki sokongan majoriti selari peruntukan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Laporan berkaitan:


Sumber | Malaysianow


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo