NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kecewa RTM tiada liputan Paralimpik Tokyo 2020

DIKWAN akan bertanding dalam acara 100m kategori T36 pada Sukan Paralimpik 2020 Tokyo yang akan berlangsung pada 24 Ogos hingga 5 September ini.

PUTRAJAYA: Para peminat sukan tanah air meluahkan perasaan kecewa apabila RTM tidak dapat hak bagi menyiarkan sebarang liputan sepanjang Sukan Paralimpik XVI Tokyo 2020.

Jawapan diberikan pihak pentadbir akaun media sosial stesen penyiaran awam itu juga tular diperkatakan ramai warganet tempatan dengan mereka meluahkan reaksi kesal dan sedih.

“Tidak siar ‘live’ pun tak apa, janji ada laporan harian sudah dikira amat okey, rugi saluran khas Sukan RTM siar ulangan program lama,” kata netizen dengan nama samaran sebagai JK.

Semalam, Jabatan Penyiaran Malaysia mengesahkan RTM tidak dapat menyiarkan temasya itu kerana tertakluk kepada isu pemegang hak penyiar rasmi, Olympic Broadcasting Services.

Edisi ke-16 itu berlangsung hari ini dirasmikan Maharaja Naruhito di Stadium Nasional Jepun setelah setahun ditunda, bersekali dengan Sukan Olimpik Musim Panas XXXII Tokyo 2020.

Seramai 4,537 atlet dari 163 negara menyertai kejohanan itu sehingga 5 September ini yang melibatkan 539 acara dalam 22 jenis sukan dengan kawalan ketat susulan wabak Covid-19.

“Sedih tidak dapat lihat aksi Malaysia raih pingat emas,” kata pengguna media sosial dengan gelaran NH merujuk kejayaan negara semasa temasya itu di Rio de Janeiro pada 2016.

Malaysia ketika itu mencipta sejarah apabila julung kali memenangi emas menerusi Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan kemudiannya, Muhammad Ziyad Zolkefli pada hari yang sama.

Keesokan, seorang lagi atlet olahraga, Abdul Latif Romly meraih emas ketiga diikuti Siti Noor Radiah Ismail dengan pingat gangsa, sekali gus Malaysia berada di kedudukan yang ke-36.

Bagaimanapun, ketiadaan liputan stesen RTM untuk temasya berkenaan turut mencetuskan persoalan mengenai fungsi sebenar saluran Sukan RTM yang baru dilancar pada 1 April lalu.

Sebaliknya, sukan tersebut hanya dapat disaksikan eksklusif menerusi saluran televisyen berbayar satelit terkenal yang tidak mampu dilanggani oleh golongan rakyat berpendapatan B40.

“Malunya, semua jiran kita ada siar sukan ini untuk rakyat mereka,” kata netizen dengan nama Ahmad merujuk negara-negara lain di rantau Asia Tenggara yang ada liputan sukan tersebut.

Kecuali Brunei, Laos, Myanmar dan Vietnam, baki lima lagi negara anggota ASEAN disahkan ada menawarkan program temasya itu termasuk upacara pembukaan dan penutupan rasmi.

Penonton di Malaysia namun tidak dapat menyaksikan kerana siaran terrestrial digital akan ‘terganggu’ disebabkan hak penyiar negara tersebut hanya khas bagi liputan wilayah mereka.

Sumber | Utusan


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo