Osman berkata, segala perancangan dan strategi yang dibuat bergantung kepada Muhyiddin. - Foto : BH |
KUALA LUMPUR: Isu keabsahan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dilihat menjadi tumpuan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang bermula hari ini (Khamis) hingga 22 Ogos depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian berkata, ia susulan ketegangan politik antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan UMNO di peringkat Pusat.
Jelas Osman, meskipun UMNO sudah mengumumkan menarik sokongan, namun kerajaan negeri Johor di bawah PN yang diterajui Hasni daripada UMNO dilihat masih kukuh.
Katanya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor yang mempunyai 12 ADUN diketuai Pengerusi Bersatu Johor, Muhyiddin yang juga ADUN Gambir mempunyai strategi tersendiri.
Bagaimanapun Osman yang juga bekas Menteri Besar Johor enggan mendedahkan strategi terbabit sebaliknya berkata, segala perancangan yang dibuat bergantung kepada Muhyiddin.
"Itu kita tak boleh bincangkan secara terbuka, sebab kita (Bersatu Johor) ada strategi. Tunggu dan lihat.
"Apa yang hendak dibuat Bersatu Johor mestilah dapat restu pucuk pimpinan. Kita ada keputusan tetapi tidak boleh keluarkan kenyataan dahulu," katanya seperti dilapor Sinar Harian pada Rabu.
Dalam pada itu, Osman berkata, Hasni seharusnya menyatakan pendiriannya dalam soal politik berhubung sokonganya terhadap kerajaan PN di bawah pimpinan Muhyiddin di luar sidang DUN.
"Menteri Besar selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Johor perlu nyatakan sokongannya sama ada menyokong Presiden UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi atau Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri terlebih dahulu, bukannya serah kepada sidang DUN untuk tentukan keabsahannya.
"Pada pandangan saya, sokongan terbabit perlu dinyatakan di luar sebagaimana dilakukan Ahmad Zahid dan kemudiannya baharulah di bawa berbincang di sidang DUN," katanya kepada Sinar Harian.
Pada 6 Ogos lalu, Hasni yang merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, berkata keabsahannya sebagai Menteri Besar boleh dibangkitkan dan dibincangkan di sidang DUN kelak.
ADUN Benut itu dilaporkan berkata, persidangan DUN merupakan platform yang sesuai untuk menentukan keabsahan kerajaan negeri termasuk kedudukannya sebagai ketua kerajaan negeri.
Pendirian parti sama ada menyokong Perdana Menteri juga akan dibuat pada sidang itu nanti.
Dalam pada itu, Osman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam berharap sidang DUN Johor akan menjadi medan perbincangan kepada semua ADUN berhubung isu menangani COVID-19 dan meningkatkan ekonomi negeri.
Terdapat 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan agihan terkininya iaitu UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (2), Pas (1) manakala Parti Amanah Negara (9) serta PKR (4).
Kerajaan Johor di bawah pimpinan Hasni yang mendapat sokongan dari UMNO, Bersatu, MIC dan Pas memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang Pakatan Harapan (PH) yang disertai DAP, Amanah dan PKR.
Pada 23 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memperkenankan supaya DUN Johor bersidang pada 12 Ogos ini (esok).
Baginda juga dilaporkan berkenan untuk berangkat bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat pada tarikh tersebut yang akan diadakan di Kota Iskandar.
Berita asal : astroawani
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment