1-Sekurang-kurangnya ada dua individu daripada senarai itu mempunyai isu berkaitan kes 1MDB iaitu Datuk Mustapa Mohamed dan Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsuddin. Dua nama ini adalah jelas dipersoalkan oleh beberapa kerat pimpinan Umno dahulu, yang mereka tidak dikenakan tindakan lanjut selepas menyertai Bersatu. Dahulu PM dari Bersatu, sekarang PM dari Umno. Harapnya akan ada suara dari pimpinan Umno yang sama melaungkan keadilan, atau boleh meminta Umno menarik diri dari kerajaan KM. Sebab kekal dengan prinsip tidak mahu senarai yang ada kes mahkamah. Atau prinsip sudah berubah?
2-Walaupun Umno berbalah dan dilihat bagaikan berpecah-belah kerana mahu menarik sokongan dari Kerajaan PN dahulu, namun setelah PM dilantik dari kalangan mereka, menjadi lah mereka bak biduk berlalu, kiambang bertaut. Nama-nama yang rakyat gelarkan pengkhianat kerana meletakkan jawatan, masih ada di dalam senarai kabinet baru. Yang melawan Presiden Umno juga nama mereka terpampang, malah ada yang sebelum ini tidak disenaraikan, melawan Presiden, turut mendapat tempat. Oleh itu, jangan percaya sangat perbalahan orang politik. Percaya sikit-sikit sudah lah.
3-YBM Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, sekali lagi diangkat menjadi Menteri Kewangan oleh PM yang baru. Dia tanpa parti, jadi perlantikannya tidak atas kapasiti mewakili mana-mana parti. Dalam bahasa lain, perlantikan beliau disokong oleh PM sendiri. Beliau pada mulanya dikatakan gagal berunding dengan bank bagi moratarium kedua selepas pandemik gelombang kedua berlaku. Beliau dimarahi oleh beberapa pimpinan Umno sehinggakan mereka terpaksa masuk lif untuk mengangkat ekor sendiri yang mereka akan berjaya menyelesaikan masalah itu dan ini jika diberikan jawatan menteri. Konon mereka berjuang untuk rakyat. Tetapi mengapa diam sekarang?
4-Ada sebahagian rakyat yang mahukan gaji menteri-menteri dipotong kerana bagi mereka membazir. Ada juga cadangan untuk semua menteri-menteri ini digantikan dengan profesional. Persoalannya, adakah mereka yang profesional ini sanggup datang dengan gaji yang telah dipotong yang kemudiannya akan dikutuk, dihina, dicaci dan dimaki oleh netizen yang boleh sampai menyumpah keturunan sekiranya gagal untuk mencapai sasaran?
5-Kemudian turun melawat rakyat di kawasan Parlimen mereka dengan pengetahuan yang kosong tentang rakyat? Dan apakah jaminan mereka yang baru ini tidak akan korup? Kecuali yang benar-benar beramal dengan Islam, berkhidmat untuk agama dan negara, mereka sanggup. Yang lain, "gelap gambar" kata orang Terengganu. Orang politik sahaja yang mempunyai ketebalan muka yang luar biasa, tahan bila dikutuk.
6-Pembangkang seperti biasa, membangkang senarai kabinet sekarang dengan hanya kritikan yang jelas mengarahkan maksud bahawa hanya mereka yang mampu memerintah walaupun sudah terbukti kegagalan mereka selama 22 bulan itu. Setakat yang diketahui, tiada pelan yang dikongsi dengan kerajaan kerana mungkin mereka takut kalau berjaya, kerajaan akan mendapat kredit. Atau pembangkang memang tiada idea, sengaja tunjuk bijak, konon mereka tahu semua benda.
7-Semua yang digelar 'penderhaka' kecuali TSMY yang meletakkan jawatan, ketika berlaku isu berkaitan perlembagaan sebelum pembukaan parlimen baru-baru ini, diterima kembali menjadi menteri. Tiada laporan dari mana-mana pihak, mahupun dari pembangkang berkenaan YDPA tidak berkenan menerima perlantikan mereka. Senarai dipersembahkan untuk mendapat perkenan Tuanku, sebelum pengumuman rasmi dibuat dan Tuanku bersetuju. Jelaskan?
8-Kabinet ini adalah kabinet kitar semula menurut kata pembangkang. Tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak bahawa kitar semula boleh menyelamatkan alam sekitar. Ketika dikitar, ia akan diperbaiki, diperelokkan dan diperkemaskan lagi sebelum digunakan sebagai produk baru. Berlainan dengan pembangkang yang walaupun bangga mengekalkan keadaan mereka sebagai pembangkang, ketua mereka sudah berpuluh tahun masih tidak bertukar dan tiada penyelengaraan berkala kerana beliau tidak boleh dikritik. Ini boleh menyebabkan ia reput tanpa disedari. InsyaAllah mereka akan jatuh menyembah bumi pada PRU nanti.
9-Faizal Azumu sekali lagi menunjukkan kehebatannya terutama kepada Dr Aziz Bari, yang digelar 'Pakar Perlembagaan' oleh orang PH, pernah mendapat gelaran Profesor dari UIA. Peja gagal diturunkan dari jawatan MB oleh Aziz sewaktu beliau mencubanya dahulu dengan berpakat bersama Umno. Malah, Aziz pula dimalukan. Peja selepas turun dari jawatan MB Perak, kemudiannya dilantik menjadi Penasihat PM bertaraf menteri dan menjadi menteri penuh dalam kabinet sekarang. Walaupun tidak disukai kerana latar belakang pendidikan dan kehidupan sosialnya, dia tetap mendapat jawatan itu, jauh meninggalkan Aziz yang masih di bawah DAP.
10-Azmin dikekalkan di kementerian MITI. Dia dimarahi kerana dikatakan penyebab kepada kenaikan kes melalui kluster-kluster kilang. Tetapi Kerajaan Selangor yang mempunyai kuasa melalui PBT, tidak juga bertindak menutup kilang-kilang. Ini semua kerana mereka juga beralasan ekonomi. Masing-masing menuding jari menyalahkan lawan, sedangkan kilang tetap dibuka dan beroperasi. Sebenarnya, semua pihak takut jika ekonomi tidak berjalan, keadaan akan semakin teruk. Jadi walaupun dari dalam laungan kemarahan kepada Azmin, dia tetap diberikan kembali kuasa oleh PM di MITI. Manakala lawannya bengang bagai nak MATI.
11-PAS mendapat lebih satu kedudukan dalam kabinet baru ini. Diberikan pula kepercayaan penuh, memegang penuh portfolio agama di JPM, menteri dan timbalannya. Tidak kah ia menghairankan semua, yang dituduh sebagai parti ajaran sesat diberikan penghormatan memegang hal ehwal agama Islam, agama persekutuan di negara ini?
12-Tiada bantahan atas perlantikan PAS ini samada dari Umno Terengganu yang pernah menggelarkan PAS dengan gelaran sesat dan juga pihak lain dari pembangkang. Malah portfolio berkaitan agama Islam di Terengganu juga, dipegang oleh dua Exco PAS dengan perkenan Tuanku Sultan Terengganu. Berbanding dengan Umno Terengganu pada tahun 2013, terpaksa memberikan portfolio agama kepada Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas kerana waktu itu, dalam Umno tiada ulamak. Kedua-dua Tuanku YDPA dan Sultan Terengganu bijak dan tahu mana yang boleh dipercayai memegang hal ehwal agama.
13-Sikap pemimpin PAS yang memilih tidak mahu berkelahi dengan kedua rakan besar mereka dalam PN dan MN, jelas menunjukkan kebesaran jiwa PAS dalam meredakan gelora politik yang menggila dicipta pembangkang dan sebahagian kluster dalam Umno. Ini lah Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diamalkan oleh PAS. Asalkan Islam mendapat perlindungan, PAS akan ada di situ membantu, insyaAllah.
14-PAS juga menyenaraikan barisan yang terbaik bagi menduduki kerusi kerajaan. Tiada kontroversi dan semua mereka dikenali sebagai individu yang dipercayai kawan dan lawan. Sudah dibuktikan ketika mereka menjadi Ahli Parlimen dan juga selama mereka menjadi pemimpin dalam PAS. Tiada suara yang boleh menafikan nama-nama yang mewakili PAS. Kecuali dari mulut orang yang suka menabur fitnah sahaja. Siiru ala barakatillah. Semoga Allah membantu mereka menunaikan amanah dan tanggungjawab ini.
Mohd Nasir Abdullah
28 Ogos 2021
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment