PUTRAJAYA: Barisan Kabinet akan dipastikan kekal komited dalam menjayakan agenda negara melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat, tegas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam perutusan ‘Pembentukan Kabinet’ di sini, hari ini, Perdana Menteri berkata, barisan Jemaah Menteri tersebut dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman serta diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi.
Menurut beliau, Kabinet baharu itu juga perlu berorientasikan hasil berlandaskan tiga prinsip – peka dengan keperluan semasa; bertanggungjawab dan beramanah serta mengembalikan semula keyakinan rakyat.
“Sesungguhnya, barisan Kabinet ini juga mengambil pendekatan baharu yang bersifat lebih terbuka dengan menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan dan maklumat yang lebih efisien.
“Sehubungan itu, barisan Kabinet dan kementerian perlu dipastikan berupaya menggalas tanggungjawab ini dengan komited dan lebih proaktif,” jelas beliau lagi.
Melalui pengumuman itu, Perdana Menteri masih mengekalkan format tiada Timbalan Perdana Menteri dan mengekalkan struktur empat Menteri Kanan seperti pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
Antara muka-muka baharu yang dibawa ke dalam senarai menteri ialah Senator Idris Ahmad (PN-PAS), dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (PN-BERSATU), manakala mereka yang kembali ke Kabinet ialah Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-UMNO), Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-UMNO) dan Tan Sri Noh Omar (BN-UMNO).
Dalam masa sama, Ismail Sabri menegaskan, beliau secara peribadi akan memastikan Kabinet tersebut menekan budaya kerja berprestasi tinggi.
“Justeru, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Untuk itu, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, pelantikan Kabinet di bawah pentadbirannya akan memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan COVID-19 serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik tersebut.
Sumber | Awani
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment