Bergegar sekarang ini pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) setelah diasak oleh lawan daripada blok pembangkang, dan kawan yang khianat lalu menikam dari belakang.
Jika serangan daripada blok pembangkang, ianya sudah menjadi lumrah yang pernah dirasai oleh Pakatan Harapan (PH) ketika mentadbir negara selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 lalu.
Tetapi orang Melayu pantang dikhianati oleh kawan. Orang Melayu akan ingat muka-muka ‘kawan’ yang telah melakukan khianat, sebagaimana mereka tidak lupa siapa Nina Chatu, Utimurtiraja dan pedagang dari China yang memainkan peranan menjatuhkan Empayar Melayu Melaka.
Desakan dan ganggu-gugat dilakukan pembangkang serta sekutu mereka, kumpulan Zahid Hamidi yang menikam belakang kerajaan PN kerana tidak membantu membebaskannya daripada puluhan tuduhan jenayah di mahkamah, semakin marak dengan mendapat dukungan parti-parti kecil seperti Pejuang dan Warisan.
Antara tuduhan untuk membangkitkan sentimen masyarakat dan menimbulkan kekeliruan rakyat adalah Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Kerajaan PN telah hilang majoriti. Maksudnya tidak mendapat sokongan lebih separuh daripada 220 Ahli Parlimen (MP) yang ada sekarang di Dewan Rakyat.
Tuduhan mereka ini dibuat berdasarkan kepada angka keahlian di dalam parti yang tidak menyokong. Jika dilihat dari sudut itu (bukan atas dasar individu) jumlah yang menolak kepimpinan Muhyiddin adalah sebanyak 120 MP.
Namun perlu diingat bahawa daripada 120 MP itu masing-masing pula tidak menyokong antara satu sama lain.
Anwar Ibrahim mempunyai sokongan 91 kerusi (DAP = 42; PKR = 35; AMANAH = 11; PSB = 2; Bebas = 1).
Zahid mendapat sokongan 15 MP UMNO.
Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan mendapat 14 kerusi (disokong oleh Pejuang = 4; Warisan = 8; UPKO = 1; dan Bebas = 1).
Ketiga-tiga kumpulan ini tidak menyokong antara satu sama lain. Malah, sehingga ada yang sanggup bersumpah menyebut nama Allah.
Yang menyokong Muhyiddin pula sebanyak 100 MP iaitu Bersatu (31); UMNO (23); PAS (18); GPS (18); MCA (2); dan masing-masing satu kerusi oleh MIC, PBRS, PBS, STAR, dan Bebas.
Perlu diingat, Kerajaan PN dan Muhyiddin sebelum ini didesak oleh pembangkang dan kumpulan Zahid supaya menunjukkan bukti jika memperoleh majoriti sokongan. Mereka mempertikaikan keabsahan Muhyiddin sebagai PM. Mereka mendesak di Dewan Rakyat supaya bukti memperoleh majoriti itu dikemukakan.
Susulan itu Muhyiddin memberi jaminan akan membawa usul undi percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 6 September ini, setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Namun pembangkang dan kumpulan penentang masih tidak berpuas hati dan mendesak Muhyiddin meletak jawatan segera atas alasan tiada majoriti.
Dan, dalam perkembangan mutakhir malam ini tersebar pula laporan mendakwa Muhyiddin akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Isnin ini, kononnya untuk memaklumkan perletakan jawatannya.
Baiklah! Kita andaikan Muhyiddin meletak jawatan dan PM baharu dilantik. Jika sebelum ini pembangkang mempertikaikan keabsahan Muhyiddin sebagai PM, maka keabsahan PM baharu itu juga boleh dipertikaikan.
Jadi, PM baharu itu mesti berani membawa usul undi percaya terhadapnya di Parlimen bagi membuktikan dia memperoleh sekurang-kurangnya 111 sokongan MP.
Perkara itu mesti dilakukan kerana rakyat juga mahu melihat keabsahan PM baharu itu, sama ada betul atau tidak PM baharu yang akan dilantik itu nanti ada majoriti di Parlimen.
Sekiranya PM baharu itu juga tidak mempunyai sokongan majoriti, bagaimana kedudukan Belanjawan tahunan nanti? Jika tidak diluluskan di Parlimen, adakah PM baharu itu perlu meletak jawatan?
Perkara sebeginilah yang sepatutnya difikirkan dan dipertimbangkan sebelum membuat desakan menyuruh Muhyiddin meletak jawatan PM.
Lagi pula jika keadaannya sama sahaja, berapa kali dalam setahun kerajaan akan bertukar dan PM baharu hendak dilantik, kerana masing-masing tiada majoriti.
Ingatlah, rakyat akan membuat penentuan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menurut Muhyiddin bakal diadakan selewat-lewatnya Julai tahun depan.
Hanya tinggal kira-kira 11 bulan sahaja lagi PRU15 akan tiba. Dalam tempoh masa yang singkat ini, kami dan rakyat marhaein lain tidak akan lupa siapa pengkhianat dan siapa yang membantu dalam kesusahan.
Tok Akhi
Pemerhati Politik Kampung
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment