NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jabatan Amal mencuit namanya kerana kebaktian dan dedikasi buat ummah

Menjawab fitnah kepada Jabatan Amal
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor 

Seharian ini bergentayangan gambar anggota AMAL yang sedang mendirikan solat semasa operasi membaiki sistem perpaipan di Jerai menghiasi media sosial, lumayan sekali anak- anak muda ini menerima sindiran malah diremehkan malah termasuk segelintir kelompok pseudo salafi. 

Jika PAN mentertawakan anggota JAM maka tidak pelik namun bila kelompok agamawan juga cuba mengulas gambar anggota AMAL sedang bersolat di kawasan air terjun maka Saya merasa terpanggil dan wajib mempertahankan anak-anak muda berbaju merah merun ini. 


Barang Kali mereka tidak pernah menatap potret anggota Unit Amfibia Briged Al Qassam solat berjemaah di dalam air saat melaksanakan tugasan. Tebalnya kebencian mereka sehingga menenggelamkan kewarasan bahkan ilmu yang mereka pelajari.

Banjir kepala air di daerah Yan Kedah telah memicu kehadiran ramai petugas ,relawan termasuk anggota JAM, mereka seperti dibius keseronokan membantu umat dipelbagai situasi dan kondisi. 

Sebelum ini krisis bekalan air di Kuala Nerus, membantu program vaksinasi kelompok di seluruh negara serta sosok anak muda pelbagai latar pendidikan muncul dipelbagai lokasi bantuan bencana. Mobilisasi anggota AMAL atau Jabatan Amal ini begitu pantas digerakkan manifestasi tahap disiplin mereka yang tinggi." Beramal kerana Allah" menjadi segenggam azimat yang mendarahdaging kepada kelompok relawan tegar ini.

Tiga dekad masa berlalu semenjak JAM ditubuhkan dan entiti ini semakin berkembang, kehadiran anak-anak muda bahkan pesara kerajaan daripada pelbagai latarbelakang dan lingkungan sosial semakin menyerlahkan Amal dalam pelbagai bidang. 

Aset-aset Jabatan Amal semakin meluas serta unit-unitnya semakin bervariasi. Bila semakin berjaya dan terpandang ,maka JAM semakin dicemburui oleh musuh dan pesaing. Pernah JAM dicadangkan untuk diharamkan , pernah cuba dikaitkan dengan kerja-kerja gansterism ,namun JAM menjawab tuduhan itu dengan reputasi mereka yang semakin cemerlang.

 Mereka menista dan melabel dengan galak sehingga aku merasa sedih, mengapa hodohnya perut pedal manusia. Walhal reputasi Amal sangat cemerlang sehingga diiktiraf oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta dalam usaha membantu manusia dan kemanusiaan. 

Jika anda memulakan langkah dalam jemaah PAS bersama Dewan Pemuda, maka Unit Amal adalah segmen yang wajib disertai. Dalam organisasi ini, kita akan diajar berkerja dan mentaati arahan serta disiplin berjemaah. 


Aku juga memulakan langkah pertama dalam harakatul ummah ini melalui penglibatan dalam Unit Amal. Unit Amal Lembah Pantai, semuanya bermula di sini.Sketsa sebuah Cinta dan pengorban. Terasa indah segala yang dilalui dalam Unit Amal yang seterusnya dijenamakan sebagai Jabatan Amal ini.

Aku teringat almarhum Ustaz Hasan Shukri yang menceritakan bagaimana gerakan pemuda Syuhada di zamannya yang mengadakan mukhaiyam, aktiviti berkawad, juga aktiviti seni silat. Apatah lagi pemuda UMNO yang terkenal dengan pemuda tahan alasak, mengganggu aktiviti yang diadakan oleh PAS dalam era itu menyebabkan pimpinan pemuda merasakan perlu diadakan tanzim berupa Berakan kepanduan Islam.

Kewujudan gerakan kepanduan berteraskan khidmat kebajikan dan sukarela bagi gerakan Islam, bukanlah sesuatu yang baru atau hanya muncul di negara ini

Unit Amal mengorak langkah menjuarai bidang kebajikan, membantu program-program PAS di semua peringkat, menghimpunkan anak muda yang cenderung dalam bidang kepanduan (pengakap), menarik anak muda kepada fikrah perjuangan Islam bahkan terlibat dengan misi-misi bantuan di seluruh dunia.

Bukan sedikit ujian melanda badan sukarela ini, termasuk cuba mengaitkan mereka dengan tujuan ketenteraan, namun Unit Amal membuktikan mereka hadir di tengah masyarakat untuk berbakti dan berbudi.

Secara rasmi JAM bermula pada 16 Februari 1991 , dengan acara perasmiannya oleh almarhum Ustaz Dato Harun Taib di Tok. Jembal. Era itu pemuda PAS dibawah kepimpinan almarhum Ustaz Abu Bakar chik,manakala Unit Amal pada awalnya diletakkan dibawah Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Pemuda PAS Pusat.

Amal terus berkembang dalam penambaikan demi penambahbaikan organisasi , seiring dengan anak-anak muda yang cerdas semakin ramai meminati badan beruniform ini. 

Apabila negara dilanda musibah banjir, mereka 'beruniform merah' ini berada di barisan hadapan, jauh lebih awal daripada agensi kerajaan sendiri. Berlaku musibah dan bencana ,maka anak-anak muda berwajah jernih ini akan mengerumuni " pesta kebajikan".

Kelompok relawan berbaju merah ini berjaya memecahkan tembok kaca PAS dengan masyarakat, mengikis imej parti ekslusif pak lebai dan agamawan. Unit Amal dengan pelbagai kepakaran dan latar belakang keanggotaan, daripada buruh sehinggalah ahli akademik, usahawan, profesional muda.

Kepelbagaian latar belakang ini merencahkan Unit Amal menjadi pasukan yang kuat, disegani malah dihormati oleh pihak polis sendiri. Aku secara peribadi menemui pegawai-pegawai kanan polis dan mereka memuji Unit Amal berkerja tanpa mengharapkan habuan duniawi, berpanas terik serta bermandi hujan.

Mereka berkerja tanpa upah, mampu diarah, berdisiplin tinggi, menjaga reputasi sebagai barisan hadapan jemaah Islam, berembun dan berpanasan untuk program PAS dan masyarakat.

Negara ini tidak mampu berbohong tentang asas dan kepakaran Unit Amal, mereka mengawal peserta-peserta bantahan awam daripada bertindak liar, menjaga keselamatan peserta dan juga mendisiplinkan para demonstran. Lihat apa yang berlaku dalam siri bantahan awam seperti demonstrasi menentang ISA,BERSIH,bantah ICERD dan lain-lain demonstrasi.

Jabatan Amal membantu pihak keselamatan, bomba dan penyelamat jika berlaku kes kemalangan, hilang di hutan atau sungai, bencana kebakaran besar, malah turut menjadi aktiviti ko-kurikulum di sekolah-sekolah Islam. 

Unit ini dikenali sebagai kadet amal serta dilatih daripada awal untuk menjadi aktivis yang berorientasikan khidmat masyarakat. Kesan tularnya gambar anggota AMAL sedang bersolat diatas cerun batu semasa bertugas membantu di Yan , masyarakat semakin menggali maklumat siapakah anak muda berbaju merah merun ini. Terima kasih kepada para pembenci kerana membantu menaikkan harkat sosial Jabatan Amal secara percuma!
 

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Bekas Pengarah Jambori Amal Kebangsaan 2002 )



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo