NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gencatan Politik: Pembangkang cakap tak serupa bikin




28 OGOS: Dewan Pemuda PAS menempelak pihak pembangkang yang mengelarkan Jemaah Menteri diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam, sebagai ‘Kabinet Recycle’.

Timbalan Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata Pemuda PAS berpendapat adalah tidak sewajarnya serangan dan tohmahan seperti kerajaan ‘recycle’ dilemparkan di kala kerajaan hari ini baru seminggu memerintah.

“Tidaklah dinafikan, banyak muka-muka lama ditampilkan semula, namun menyedari situasi dan kedudukan Perdana Menteri pada hari ini, perlulah disedari bahawa tidak banyak perubahan yang boleh dibuat dalam hasrat bagi memastikan pentadbiran berjalan dengan lancar.

“Pembangkang sering melaungkan perpaduan dan hentikan sebarang permainan politik, namun dalam masa yang sama mereka yang bermain politik.

“Mereka menyatakan sokongan dan perpaduan semasa berjumpa YAB Perdana Menteri, tetapi kembali menyerang YAB Perdana Menteri apabila calon ‘kesukaan’ mereka tidak dibariskan dalam barisan Kabinet semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Fadhli berkata pembangkang perlu memberikan ruang kepada kerajaan hari ini membuktikan kemampuan mereka.

Malah, Ahli Parlimen PAS-Pasir Mas itu menegaskan Perdana Menteri telah berjanji untuk membuktikan kemampuan dalam 100 hari awal pentadbiran.

“Berikan masa untuk kerajaan, bukan terus menghentam seawal pembentukan Kabinet. Tindakan menghentam secara pramatang ini amat tidak profesional.

“Jika kerajaan hari ini adalah kerajaan ‘recycle’, mungkin Pakatan Harapan juga boleh bermuhasabah kerana memiliki calon Perdana Menteri ‘recycle’ sejak lama,” katanya.

Berikutan itu, Ahmad Fadhli berkata lebih baik mereka bermuhasabah berhubung calon Perdana Menteri mereka berbanding bercerita tentang kerajaan.

“Kita akui, kabinet ini mungkin tidak sempurna, namun itulah yang terbaik buat masa sekarang,” katanya. – Oleh Haika Khazi

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo