SUASANA politik di negara ini kini sedang bergelut untuk melantik kerajaan baharu rentetan peletakan jawatan Perdana Menteri ke-8, Isnin lalu.
'Suhu' politik kini pada tahap tinggi kerana ia memberi kesan langsung kepada struktur pentadbiran negara, ketua pentadbir di kerajaan Persekutuan dan kementerian, perkhidmatan dan kelangsungan projek oleh agensi kerajaan termasuk kesan sosial serta ekonomi semasa.
Pelabur luar juga terkesan dan mengambil sikap berhati-hati dalam membawa masuk pelaburan baharu serta rakan perniagaan yang ingin melihat peluang di negara ini.
Apa-apa keputusan diambil sebelum mandat dapat diserahkan semula kepada rakyat untuk pelantikan kerajaan baharu harus mengambil kira nasihat daripada titah Yang di-Pertuan Agong.
Sudah pasti kita menginginkan satu keputusan terbaik untuk kerajaan mentadbir dan memacu negara ini.
Justeru, setiap pihak tanpa mengira kedudukan atau latar belakang wajar mempertimbangkan krisis kesihatan berkaitan pandemik COVID-19 yang masih kita hadapi sebagai keutamaan negara mengatasi kepentingan parti atau individu.
Jumlah kes harian positif COVID-19 dicatatkan sebanyak 22,242 kelmarin dengan kematian seramai 225 serta keperluan rawatan di unit rawatan rapi melebihi 1,060 katil. Kita masih berhadapan dengan pelbagai kerenah, kesusahan, keperitan, kepenatan, kematian dan seribu satu macam perkara berkaitan COVID-19 sejak Mac tahun lalu.
Suasana kesihatan semasa ini sangat menekan kehidupan setiap individu dari sudut mental, sosial, sokongan moral dan fizikal. Ini boleh dilihat apabila lebih ramai kematian mengejut di rumah dicatatkan dan kematian akibat membunuh diri serta ramai hilang mata pencarian.
Semua suasana dan catatan kejadian ini sebagai refleksi langsung bahawa negara kita perlu dipimpin kerajaan stabil dan disokong jentera kerajaan kukuh, sistem penyampaian perkhidmatan efisien, polisi semasa bersifat anjal, sokongan padu daripada penjawat awam, swasta serta orang awam terus berganding bahu membantu mengawal penularan COVID-19 hingga ke akhirnya.
Negara kita masih bergelut dengan jumlah penerima vaksin yang sehingga kini 75.3 peratus atau 17,625,760 individu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 50.2 peratus atau 11,743,096 melengkapkan dua dos vaksin.
Seramai lebih 6 juta penduduk layak menerima vaksin belum lagi mendaftar melalui aplikasi MySejahtera berdasarkan 80 peratus penduduk Malaysia untuk kita mencapai objektif imuniti kelompok seperti digariskan dalam Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Laporan harian semasa dimaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) lebih 98 peratus kes COVID-19 adalah daripada kategori tanpa gejala dan gejala ringan, manakala kategori lebih serius yang memerlukan rawatan hospital adalah mereka yang belum menerima vaksin atau belum melengkapkan dua dos vaksin.
Maklumat semasa ini memberi satu perkhabaran baik kepada kita semua apabila perancangan yang tersusun oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) bersama semua agensi terbabit mula menampakkan keberkesanan vaksin dalam mengawal tahap keseriusan penyakit COVID-19.
Namun, kita masih lagi berada pada tahap awal kejayaan pengawalan penularan dan dengan suasana politik masih tidak menentu ini, ia dibimbangi boleh menjejaskan kelangsungan perancangan berkenaan.
Oleh itu, satu persetujuan perlu dicapai supaya landskap politik baharu di negara ini diputuskan secara kolektif dan inklusif kerana pandemik COVID-19 ini memerlukan gandingan dan kebijaksanaan semua pihak.
Sebagai pengajaran untuk kita semua, beberapa negara lain yang menerima pujian antarabangsa atas kejayaan mengawal penularan COVID-19 seperti United Kingdom (UK) dan Israel dengan masing-masing mencapai lebih 90 peratus individu menerima sekurang-kurangnya satu dos, juga kini berhadapan dengan gelombang ketiga COVID-19 bermula pertengahan Mei lalu.
Ini satu perkembangan boleh menjurus kepada pertambahan beban kepada rakyat. Namun, kerajaan mereka mengambil langkah berani dengan memperkenalkan kaedah pengawalan tambahan lebih sesuai untuk waktu ini.
Bagi negara kita pula, antara langkah terbaik kepada semua pemimpin politik yang dipilih rakyat sangat wajar bersetuju melakukan 'gencatan politik.' Malah, pembentukan Kabinet baharu nanti, sewajarnya penumpuan khusus kepada usaha memerangi pandemik.
Perlu ditekankan bahawa apabila negara kita berterusan menghadapi masalah ketidakstabilan akibat daripada perebutan kuasa akan menyebabkan polisi dan perkhidmatan penyampaian kesihatan terganggu-gugat.
Ini sangat merugikan semua pihak dan masa depan negara. Fikir-fikirkanlah.
Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Kajian, Inovasi dan Pembangunan (IRDI), International Medical University (IMU)
https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2021/08/853550/gencatan-politik-langkah-terbaik-tumpu-perangi-covid-19
https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2021/08/853550/gencatan-politik-langkah-terbaik-tumpu-perangi-covid-19
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment