YouTube menggantung Sky News Australia daripada memuat naik kandungan baharu.selama seminggu |
SYDNEY: YouTube hari ini menggantung Sky News Australia daripada memuat naik kandungan baharu selama seminggu, atas kebimbangan menyebarkan maklumat salah berkenaan COVID-19.
Langkah itu diambil selepas meneliti kandungan dimuat naik oleh siaran televisyen milik Rupert Murdoch itu, yang memiliki pengaruh besar dalam talian.
"Kami memiliki dasar jelas mengenai maklumat salah COVID-19… bagi mengelak penyebaran maklumat salah COVID-19 yang boleh menyebabkan kesan buruk di dunia nyata," kata YouTube dalam satu kenyataan.
Saluran Sky News Australia, anak syarikat News Corp milik Murdoch yang memiliki 1.86 juta pengikut di YouTube, memiliki pengikut konservatif melangkaui Australia.
Muat naik saluran itu, termasuk persoalan kewujudan pandemik dan keberkesanan vaksin, dikongsi secara meluas di forum media sosial di seluruh dunia, yang menyebarkan maklumat tidak benar mengenai virus dan vaksin.
Muat naik terakhir di YouTube tiga hari lalu, menampilkan seorang hos yang mendakwa perintah berkurung gagal dan mengkritik pihak berkuasa Australia kerana melanjutkan arahan kekal di rumah di Sydney.
Sky News mengesahkan penggantungan sementara itu dan seorang jurucakap memaklumkan, saluran televisyen itu 'menyokong perbincangan meluas dan debat berhubung pelbagai topik dan perspektif yang penting dalam mana-mana demokrasi'.
"Kami menyatakan komitmen untuk memenuhi jangkaan editorial dan komuniti secara serius," katanya.
YouTube menetapkan dasar 'tiga pelanggaran kesalahan', dengan kesalahan pertama membawa kepada penggantungan selama seminggu, kesalahan kedua dalam tempoh 90 hari membawa kepada penggantungan dua minggu, dan kesalahan ketiga menyebabkan penyingkiran daripada platform itu.
Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pernah digantung secara sementara di bawah dasar berkenaan.
YouTube dimiliki syarikat induk Google, Alphabet. - AFP
No comments
Post a Comment