Orang ramai menunggu giliran menerima suntikan vaksin COVID-19 di Ningbo, timur China, di mana pekerja pelabuhan Ningbo-Zhousha disahkan positif coronavirus. - Foto AFP |
BEIJING: Pihak berkuasa China menggantung operasi sebuah terminal di pelabuhan kargo ketiga paling sibuk di dunia selepas seorang pekerjanya dijangkiti COVID-19.
Penutupan terminal utama di pelabuhan Ningbo-Zhousha di pantai timur itu, yang mengendalikan hampir 1.2 bilion tan muatan pada 2020, mencerminkan komitmen China untuk membendung penularan wabak coronavirus.
Tindakan itu diambil selepas pandemik kembali bertambah buruk sejak beberapa bulan lalu tanpa mengira kos ekonomi akibatnya.
Pekerja di terminal Meishan di pelabuhan itu disahkan positif coronavirus semalam, kata pegawai bandar Ningbo.
Ketua pegawai eksekutif (CEO) Terminal Kontena Meidong, Jiang Yipeng, yang mengendalikan zon Meishan, berkata syarikat itu 'dengan serta merta menghentikan kerja pengeluaran dan menutup kawasan pelabuhan'.
Pekerja itu sudah menerima vaksin lengkap dan masih tidak jelas bagaimana mereka boleh dijangkiti.
Terminal Meishan adalah kawasan baru dibina di pelabuhan yang diperluaskan itu dan ia adalah terminal mega kedua, dengan kapasiti 10 juta kontena, lapor media tempatan.
Hampir 2,000 pekerja barisan hadapan di pelabuhan Ningbo-Zhoushan diletakkan di bawah 'pengurusan tertutup', yang mana mereka tidak dibenarkan meninggalkan pelabuhan itu berikutan jangkitan yang berlaku, lapor media negara itu.
Pekerja pelabuhan di China menjalani ujian COVID-19 secara rutin.
Penutupan terbaru itu mengancam gangguan berlanjutan kepada rangkaian perkapalan global yang berdepan tekanan, yang mana keadaannya bertambah buruk selepas taufan melanda pantai timur China bulan lalu.
Rangkaian perkapalan global berdepan cabaran terbesar berikutan permintaan barangan meningkat daripada pengguna di Barat ketika pandemik memberi tekanan kepada pengeksport China berdepan kawalan virus domestik yang ketat.
Pada Mei, seorang pekerja di pelabuhan Yantian di pusat perdagangan selatan Shenzhen disahkan positif virus itu, menyebabkan operasi pelabuhan dihentikan selama sebulan, yang menyebabkan masalah kelewatan penghantaran yang besar. - AFP
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment