Dr Rohana Johan, Pengarah Hospital Kuala Lumpur. - FOTO BERNAMA |
KUALA LUMPUR: Jika semalam seorang pegawai kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkongsi khabar gembira mengenai situasi kemasukan pesakit COVID-19 di Jabatan Kecemasan semakin berkurangan, hari ini Pengarah hospital itu pula mengesahkan perkara berkenaan.
Dr Rohana Johan berkata, trend penurunan berlaku sejak sebulan lalu dan paling ketara, seminggu kebelakangan ini.
"Alhamdulillah, jika kita bandingkan kemasukan pesakit COVID-19 sejak sebulan lalu boleh nampak penurunan kes yang masuk melalui Jabatan Kecemasan.
"Kalau sebulan dulu, kes kecemasan yang menunggu untuk kemasukan ke wad adalah lebih 200, sekarang setakat hari ini, hanya tinggal sekitar 20 orang," katanya ketika ditemui di HKL.
Beliau yakin kerjasama rakyat dalam pengambilan vaksin, melakukan kawalan kendiri serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP), telah menyumbang kepada situasi itu.
Dr Rohana berkata, kes jangkitan Kategori 5 yang memerlukan bantuan pernafasan juga menunjukkan trend penurunan amat ketara, terutama dalam kalangan individu yang sudah lengkap vaksinasi.
"Walaupun masih ada kes memerlukan bantuan pernafasan, jumlah tinggi dilihat dalam kalangan individu yang tidak mempunyai sejarah vaksin," katanya.
Beliau berkata, lebih melegakan, keadaan terkini itu turut memberi sedikit ruang kepada petugas barisan hadapan untuk berehat dan merawat pesakit dengan lebih tenang.
Dr Rohana yakin trend penurunan itu akan berterusan dengan kerjasama seluruh rakyat, sekali gus mengucapkan terima kasih kepada pihak terbabit, termasuk inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Pasukan Bertindak Khas 'Greater Klang Valley' (GKV) dan hospital swasta yang sedia menerima pesakit bukan COVID-19.
"Selain itu, inisiatif kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan sukarelawan sama ada klinikal atau bukan klinikal yang membantu mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan HKL," katanya.
Sementara itu, tinjauan mendapati dua wad yang sebelum ini dikhaskan bagi merawat pesakit COVID-19 Kategori 3, kini kembali dijadikan wad untuk merawat pesakit bukan COVID-19 zon kuning sejak seminggu lalu.
Difahamkan, wad yang mampu menempatkan 30 orang pada satu-satu masa itu pernah dihuni 70 pesakit COVID-19 dengan dilengkapi katil kanvas sementara.
Kini, katil kanvas itu diletakkan di satu sudut dalam keadaan siap siaga sekiranya diperlukan, begitu juga dengan puluhan tangki oksigen dan ventilator.
Katil kosong juga dapat dilihat di dua wad isolasi yang menempatkan pesakit COVID-19 Kategori 4 dan 5 serta yang memerlukan bantuan pernafasan.
Pakar Anestesiologi di HKL, Dr Hana Hadzrami sebelum ini berkongsi kelegaan apabila kes rujukan dari Jabatan Kecemasan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu yang membabitkan pesakit COVID-19 kritikal, semakin berkurangan.
"Kami di Lembah Klang sudah mulai nampak titik cahaya di hujung terowong yang gelap. Samar-samar tetapi penuh harapan," katanya dalam satu kemas kini di laman Facebook. – BERNAMA
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment