NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

COVID-19 : Kes di Thailand lepasi angka satu juta

Warganegara Thailand menerima vaksin Covid-19 di Bangkok. Foto Xinhua
BANGKOK - Jumlah kes Covid-19 di Thailand sudah melepasi angka satu juta pada Jumaat ketika negara ini berusaha meningkatkan kadar vaksinasi untuk membendung peningkatan kes baharu akibat penularan varian Delta.

Sepanjang 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 19,851 kes baharu dan 240 kematian menjadikan jumlah jangkitan sebanyak 1,009,710 dan 8,826 orang meninggal dunia sejak virus itu mula dikesan Januari tahun lalu.

Thailand, negara pertama di luar China yang mencatat kes Covid-19, pada awalnya mencatatkan jumlah kes yang agak rendah, dengan hanya lebih 4,000 kes dan 60 kematian sebelum gelombang kedua berlaku pada Disember tahun lalu dan gelombang ketiga April tahun ini.

Pada April, sejumlah 980,847 kes dan 8,732 kematian telah dilaporkan, awalnya disebabkan varian Alpha dan kini varian Delta.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata, kes baharu itu termasuk 325 banduan.

“Sebanyak 10 kes import telah dilaporkan termasuk dua warga tempatan yang kembali dari Malaysia,” katanya.

Tambah beliau bagi kes kematian baharu ia melibatkan 12 lelaki dan 111 wanita berusia antara tujuh bulan hingga 93 tahun, termasuk lima warga Myanmar dan seorang rakyat China.

"Data menunjukkan sejak 25 Julai hingga 19 Ogos tahun ini, sejumlah 4,656 kematian telah dilaporkan dengan 63.8 peratus mangsa tidak divaksinasi," katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Thailand telah memberikan 25.81 juta dos vaksin sejak 28 Februari tahun ini.

Bagi meningkatkan usaha vaksinasi, Thailand membeli tambahan 10 juta lagi dos vaksin Pfizer-BioNTech.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul pada Jumaat menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Opas Karnkawinpong dan Eksekutif Pfizer Thailand dan Indochina Deborah Seifert.

Thailand turut membeli tambahan 12 juta dos vaksin Sinovac untuk tujuan mix-and-match.

Sementara itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) menawarkan perkhidmatan vaksinasi di rumah untuk pesakit yang terlantar di katil serta kumpulan berisiko tinggi dan golongan rentan (mudah kena penyakit).

Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang berkata, banyak pesakit terlantar dan warga emas dijangkiti Covid-19 melalui ahli keluarga.

"Oleh itu, kami menghantar pasukan kami untuk memberi vaksinasi percuma kepada mereka," katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Sumber | Bernama


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo