Keadaan di perkuburan umum ketika angka kematianan di Indonesia mpeningkat di tengah pandemik COVID-19. Gambar : abc.net.au |
Daripada 68,000 pesakit di Jakarta dari Mei hingga Julai lalu, hanya 4.1 peratus daripada jumlah kematian membabitkan individu yang sudah divaksin sama ada menerima dua dos suntikan Sinovac atau AstraZeneca, sementara 15.5 peratus adalah dalam kalangan mereka yang tidak divaksin.
Indonesia sejak beberapa bulan lalu berdepan lonjakan kes harian terburuk, dan semalam jumlah kematian di negara itu melepasi 100,636 kes, sekali gus meletakkan republik itu sebaris dengan 11 lagi negara di dunia yang merekodkan lebih 100,000 kematian akibat COVID-19.
Namun, ia sudah dijangkakan kerana Indonesia adalah negara keempat di dunia paling ramai penduduk, selain program suntikan pelalian vaksin COVID-19 juga perlahan, serta kelewatan melaksanakan penutupan penuh bagi mengekang penularan wabak itu.
Kebiasaannya data berkaitan kematian pesakit yang sudah divaksin dengan tidak divaksin sukar diperoleh, namun ahli biologi molekul, Dr Ines Atmosukarto, berkata data itu adalah bukti pentingnya vaksinasi pada masa depan.
"Ini menyokong anggapan bahawa dua dos vaksin mengurangkan kemungkinan kematian bagi mereka yang dijangkiti dan memerlukan rawatan di hospital," katanya, sambil menambah bahawa data terbabit tidak mempunyai perincian mengenai usia, komorbiditi dan jangka waktu pemantauan ke atas pesakit.
Secara berasingan, data dari bandar Bayuwangi di Jawa menunjukkan 93 peratus pesakit COVID-19 yang meninggal dunia dari Mac hingga Julai lalu adalah dalam kalangan mereka yang tidak divaksin, sementara 6 peratus membabitkan mereka yang menerima dos pertama dan 1 peratus yang melengkapkan dos kedua.
Sinovac dan AstraZeneca adalah vaksin yang diberikan kepada orang ramai di kawasan itu.
Jurucakap Program Vaksinasi COVID-19 KKRI, Dr Siti Nadia Tarmizi berkata data yang diterbitkan itu mampu menyanggah keraguan terhadap vaksin di Indonesia.
Menurut data itu, sehingga kini 18 peratus daripada lebih 270 juta populasi di Indonesia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, sementara 8 peratus lagi melengkapkan dua dos.
Indonesia kini menjadi pusat penularan COVID-19 di Asia dengan merekodkan lebih 3.5 juta kes sejak awal tahun lalu dan bergelut dengan penularan meluas varian Delta yang mudah berjangkit.
Namun, kes baharu mulai menurun di Jakarta dan di sesetengah kawasan di Jawa. - AGENSI
No comments
Post a Comment