KUALA LUMPUR: Cadangan rangka persefahaman rentas parti dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam adalah pelan transformasi yang inklusif dan satu bentuk pemikiran luar kotak yang wajar direnungi semua pihak.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, berkata negara ketika ini benar-benar memerlukan politik yang matang, kesejahteraan bersama, proaktif dan membina berasaskan rakyat.
"Justeru, tawaran jalan keluar menerusi pelan transformasi bersifat bipartisan dan inklusif serta fokus kepada pemulihan nasional seperti diketengahkan Perdana Menteri, wajar direnungi.
"Semua tahu negara sedang menghadapi detik yang sukar dan dari satu sudut kelihatan agak rumit, tanpa hala tuju yang jelas.
"Tinjauan jelas mendapati sentimen rakyat tidak suka kepada tindakan bersifat politiking dan berebut kuasa.
"Titah ucapan daripada Raja-Raja dan Sultan di Johor, Selangor dan Pahang juga menunjukkan hasrat yang sama," kata beliau dalam laman Facebooknya.
Semalam, Perdana Menteri membentangkan cadangan rangka persefahaman rentas parti, mengandungi tujuh perkara yang akan dilaksanakan kerajaan jika usul undi percaya terhadap beliau diluluskan di Dewan Rakyat.
Beliau dilaporkan berkata, cadangan itu dibuat selepas Perikatan Nasional (PN) mencapai kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti di luar gabungan itu bagi meluluskan undi percaya kepada Perdana Menteri, selepas mengambil kira keadaan semasa, yang mana tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri ketika ini.
Katanya, ia akan membolehkan kerajaan terus berfungsi mengurus pandemik COVID-19 hingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya umum (PRU) bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat.
Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, bagi ahli politik yang masih dalam kepompong politik dendam, iri hati dan berpuak, mereka tentunya akan memberi reaksi negatif kepada tawaran itu, namun bagi yang tulen mencari kebaikan untuk rakyat, ingin berkhidmat dan melihat reformasi berlaku, langkah susulan perlu dilakukan.
Katanya, UMNO juga perlu menyelami tawaran itu sedalam-dalamnya dengan asas pertimbangan untuk kebaikan rakyat.
"Jika keutamaan kepada kebaikan untuk rakyat diabaikan, kita bakal dihukum pengundi.
"Satu pendekatan yang boleh diambil adalah untuk UMNO membuat libat urus secara berlapang dada, kemudian turut mengemukakan syor transformasi tambahan yang lebih padu demi kesejahteraan rakyat dan negara.
"Jika rancangan ini dapat dilaksanakan, rakyat akan rasa terjamin berada di bawah naungan politik matang serta berakal panjang," katanya.
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment