PUTRAJAYA: Penting diri dan menipu antara punca pertambahan kes positif Covid-19 di Putrajaya sejak beberapa hari lalu sehingga merekodkan tiga angka dengan yang terbaharu kelmarin, 116 kes.
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, perkara itu terbukti selepas ada yang ditangkap dan mengaku ketika siasatan dilakukan pegawai kesihatan yang mahu mengesan kontak rapat pesakit terbabit.
Menurut sumber, siasatan mendapati, ada juga pesakit menyorok gelang merah jambu dipakai dengan pelbagai cara untuk keluar beli-belah atau membeli makanan di pasar sekitar wilayah ini.
“Malah ada pesakit yang menziarahi rakan taulan termasuk ketika Hari Raya Aidiladha baru-baru ini manakala individu-individu ini hanya mengisi nama dalam buku log di premis yang dilawatinya bagi memastikan pergerakannya tidak dikesan melalui aplikasi MySejahtera.
“Sikap itu menyebabkan beberapa premis dan gerai terpaksa ditutup sementara waktu mengikut Akta 342 dan dalam masa sama menyebabkan perniagaan sekitar turut terjejas kerana kerisauan orang ramai seperti yang berlaku di sebuah pasar awam di Presint 9,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, pihaknya juga mendapati terdapat individu yang membuang atau mengoyak notis pemakluman status Covid-19 yang ditampal di sesebuah premis perniagaan dan kediaman.
“Tindakan terbabit menyebabkan orang ramai tidak mengetahui status sesuatu kawasan hinggakan mereka tidak dapat mengambil langkah-langkah sewajarnya.
“Malah terdapat peniaga dan penduduk yang masih sengaja tidak memakai pelitup muka hingga berlakunya penularan sekali gus menyebabkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas,” katanya.
Putrajaya kebelakangan ini merekodkan peningkatan kes positif yang ketara hingga menjadi sebaris dengan beberapa negeri yang terus mencatatkan pertambahan kes.
Kelmarin, Putrajaya mencatatkan 116 kes dan pertambahan dapat dilihat seminggu sebelumnya iaitu Jumaat, 100 kes; Khamis, 84 kes; Rabu, 68 kes; Selasa, 122 kes; Isnin, 94 kes; Ahad, 50 kes; Sabtu, 59 kes dan Jumaat, 41 kes.
– UTUSAN
No comments
Post a Comment