Lawatan Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris ke Asia Tenggara terutamanya di Singapura dan Vietnam diiringi dengan nada amaran keras kepada China agar tidak membuli dan menekan negara-negara Asean terutamanya berkaitan tuntutan bertindih ke atas pulau-pulau di Laut China Selatan.
Media-media utama negara China membidas kenyataan Kamala Harris dengan menyatakan bahawa ucapan dan tindakan Naib Presiden Amerika Syarikat tersebut hanya untuk memecahbelahkan hubungan China dengan negara-negara Asean di samping menghangatkan lagi keadaan yang sememangnya tegang di antara Amerika Syarikat - China.
Jika dilihat ucapan keras Naib Presiden Amerika Syarikat tersebut baik di Singapura mahupun Vietnam, ia sebenarnya adalah tanda awal bahawa berkemungkinan sesuatu yang besar akan berlaku samada dari segi hubungan Amerika Syarikat - China atau berkemungkinan keadaan geopolitik di Asia Pasifik mahupun Asia Tenggara akan menjadi semakin tegang.
Tegang yang mungkin membawa maksud akan timbul lebih banyak lagi tindakan intimidasi baik daripada China mahupun Amerika Syarikat dan sekutunya yang sememangnya akan menjejaskan kestabilan serta keamanan di Asia Tenggara terutamanya di Laut China Selatan akibat daripada perseteruan dua kuasa besar dunia ini.
Gambaran awal ketegangan tersebut telah mula kelihatan apabila telah berlangsung beberapa siri latihan ketenteraan yang diketuai oleh Amerika Syarikat dengan negara-negara Asean berserta “Quad Nation“ di Asia Pasifik terutamanya di Laut China Selatan yang tentunya memberikan gambaran bahawa ia adalah satu tanda amaran yang mungkin menjadi intimidasi terhadap China.
Kapal-kapal perang dan kapal pengangkut pesawat milik Amerika Syarikat dan sekutunya seperti Britain dan India telah mula melakukan rondaan dan berlabuh di sekitar Laut China Selatan.
Pesawat pengintip milik Amerika Syarikat dikatakan sudah mula melakukan rondaan dan intipan di sekitar Laut China Selatan dan Asia Pasifik. Fokus Amerika Syarikat yang dahulunya tertumpu di Asia Barat sudah mula beralih ke Asia Pasifik terutamanya China setelah pengunduran tentera Amerika Syarikat daripada bumi Afghanistan beberapa hari lalu.
Semuanya berlaku kerana ancaman terbesar Amerika Syarikat saat ini adalah China termasuk juga Rusia. Jika tidak dihalang, China dijangka paling awal sekitar tahun 2025 akan menjadi kuasa besar ekonomi dunia dan berkemungkinan besar juga akan menjadi kuasa terbesar dunia dari sudut ketenteraan di mana ia mungkin akan mengakhiri hayat Amerika Syarikat sebagai kuasa terulung geopolitik, ketenteraan dan ekonomi dunia.
Jika ini berlaku dalam masa beberapa tahun lagi di samping hubungan rapat China dengan Rusia mahupun Iran, keadaan geopolitik dunia dijangka bakal berubah sama sekali di mana berkemungkinan China, Rusia dan Iran akan menumbangkan Amerika Syarikat dan sekutunya sebagai kuasa utama dunia samada dari sudut ekonomi, ketenteraan dan geopolitik.
Maka sebelum perkara dan igauan ngeri ini berlaku, China harus dikekang dan disekat dalam pelbagai sudut samaada untuk memperlahankan peningkatan kekuasaannya atau terus menekan China agar tunduk kepada tuntutan mahupun penguasaan Amerika Syarikat dan sekutunya yang sedang bertarung nyawa untuk mengekalkan kuasa sebagai “ketua tunggal dunia“.
Namun sebagaimana yang diketahui umum, ia tidak terhenti di situ sahaja. Perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat masih lagi berterusan hingga saat ini walaupun telah berlangsung beberapa siri rundingan di antara kedua-dua buah negara untuk meleraikan kekusutan tersebut.
Huawei, antara syarikat telekominukasi terbesar di dunia telah dikenakan pelbagai sekatan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya termasuk Kesatuan Eropah termasuk Britain. Ketua Pegawai Kewangannya Meng Wanzhou masih lagi ditahan dan dibicarakan di Kanada untuk diektradisi ke Amerika Syarikat atas kesalahan menjalankan perniagaan di Iran yang dinafikan beliau mahupun Huawei.
Barangan China yang dieksport ke Amerika Syarikat dikenakan cukai yang amat tinggi dan pelbagai lagi sekatan dikenakan Amerika Syarikat ke atas China. Tiktok, salah satu applikasi video terbesar dunia milik syarikat China hampir sahaja tidak dibenarkan beroperasi terus di Amerika Syarikat, begitu juga beberapa syarikat multimedia gergasi China yang terus ditekan serta dipantau oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.
Boleh dikatakan hampir kesemuanya dituduh melakukan intipan bagi pihak China bertujuan untuk mengancam keselamatan dan kedaulatan Amerika Syarikat dan rakyatnya.
Ketika karier politik Donald Trump hampir berakhir sebagai Presiden Amerika Syarikat, ramai pakar dan penganalisa geopolitik dunia meramalkan bahawa Amerika Syaikat akan menyerang China kerana perebutan kekuasaan dan pengaruh geopolitik serta ekonomi dunia di samping menjadi “tonik“ tambahan kepada Donald Trump untuk memenangi pilihanraya Presiden Amerika Syarikat.
Walaupun perkara tersebut tidak menjadi kenyataan, telah terdapat tanda-tanda jelas bahawa perseteruan dan intimidasi yang berlaku antara kedua-dua negara akan menjadi semakin buruk. Isu Hong Kong, Taiwan, perang perdagangan dan banyak lagi isu mahupun perkara berbangkit tidak mampu diselesaikan secara baik dan diplomasi oleh kedua-dua buah negara malah keadaan menjadi bertambah buruk.
Ketika Joe Biden dilantik menjadi Presiden Amerika Syarikat, ramai yang berpendapat bahawa Joe Biden dan pentadbirannya akan mengambil jalan tengah dan lebih berdiplomasi dalam menangani isu berkaitan China sekaligus mampu meredakan ketegangan antara kedua-dua negara dan kembali menstabilkan keadaan geopolitik dunia.
Melihat kepada keadaan sekarang, ternyata Joe Biden dan pentadbirannya seakan meneruskan apa yang telah dimulakan oleh Donald Trump dalam menghadapi kebangkitan China dan kali ini Laut China Selatan dan Asia Pasifik menjadi alasan dan taruhan dua kuasa besar dunia ini untuk bertempur sesama mereka.
Apa sekalipun keadaan tegang yang berlaku di antara China - Amerika Syarikat ketika ini terutamanya di Asia Pasifik dan Laut China Selatan, ia sebenarnya langsung tidak membawa faedah dan hanya memburukkan keadaan terutamanya kepada negara-negara Asean kerana perang psikologi dan warfare yang berlaku di antara kedua- mdua negara ini telah dibawa masuk ke laman Asean.
Ia dijangka mampu membawa malapetaka buruk yang berpanjangan kepada negara-negara Asean di mana ia mampu memecahbelahkan kerukunan negara-negara Asean yang akhirnya terpaksa memilih untuk menjadi sekutu samada dengan Amerika Syarikat mahupun China demi untuk meneruskan kelangsungan hayat.
Dengan memilih untuk menjadi sekutu, negara-negara Asean akan lebih terdedah kepada ancaman samada daripada China dan Amerika Syarikat seperti sekatan perdagangan, pemulauan dan pelbagai lagi tekanan yang mampu menjejaskan kerukunan Asean dan memburukkan hubungan di antara negara-negara Asean.
Kesemua senario ini mampu memburukkan keadaan di Asia Pasifik terutamanya di Laut China Selatan di mana akhirnya berkemungkinan besar ia mampu menjadi medan tempur atau tapak peperangan di antara kedua buah kuasa besar dunia ini jika keadaan menjadi tidak terkawal serta berlakunya provokasi yang berterusan di antara kedua-dua buah negara.
Sudah tentu ia menjadi malapetaka besar kepada negara-negara Asean samada dari sudut keamanan, keselamatan, ekonomi dan kelangsungan hidup di mana saat ini boleh dikatakan hampir setiap negara Asean sedang bergelut dan berkerja keras dalam menangani penularan wabak pandemik Covid-19 yang mungkin memakan masa setahun dua untuk kembali pulih sepenuhnya.
Pastinya negara-negara Asean tidak mahu di kala wabak pandemik Covid-19 masih lagi tinggi penularannya yang merencatkan segala aktiviti, terpaksa pula berhadapan dengan ketegangan yang tercetus di antara dua kuasa besar ini di halaman Asean sendiri di mana ia sudah pasti membawa akibat buruk yang berpanjangan daripada segenap sudut.
Sebelum berfikir lebih jauh akibat daripada apa yang berlaku di antara China-Amerika Syarikat ketika ini, jika keadaan ini dibiarkan berterusan ia berkemungkinan mampu membawa ke kancah peperangan yang nyata yang akan mampu memporak perandakan Asean.
Oleh itu, mari kita imbau sejenak konfrantasi yang sedang belaku di seluruh dunia saat ini di mana kesemuanya bermula dengan nada-nada keras pemimpin dunia, diikuti dengan provokasi, ancaman sehingga menimbulkan ketidakstabilan geopolitik yang akhirnya membawa ke kancah peperangan.
Samada ia berlaku secara langsung ataupun apa yang disebut sebagai “ perang proksi “, akibatnya adalah terlalu buruk samada untuk sebuah negara dan rakyatnya mahupun untuk sebuah wilayah yang lebih besar seperti Asean dan kawasan-kawasan sekitarnya dan lebih buruk jika ia bukan cetusan dari negara atau wilayah itu sendiri, dengan maksud perang tersebut dibawa masuk ke satu - satu kawasan untuk tujuan - tujuan tertentu.
Kita lihat apa yang berlaku di Iraq, Yaman, Syria, Libya dan Afghanistan. Bukan sahaja negara tersebut hampir musnah, ekonominya hancur, kebanyakkan rakyatnya menghadapi kebuluran dan tiada tempat berteduh, kemudahan asas hampir musnah, berlakunya kadar pengangguran yang cukup tinggi disamping pelbagai lagi malapetaka yang terpaksa dihadapi, malah keadaan negara tersebut umpama sudah hancur menyembah bumi.
“ Tuan Badan “ yang membawa masuk peperangan ke negara-negara tersebut setelah porak peranda negara-negara tersebut hanya keluar begitu sahaja dengan pelbagai alasan. Janji untuk membangunkan negara setelah selesai berperang hanya tinggal janji, yang pasti peperangan terus berlaku hingga hampir memusnahkan ketamadunan yang ada di setiap negara tersebut.
Kita tidak mahu ia berlaku di laman sendiri iaitu di Asean. Ia perlu dihindarkan serta dijauhi dan dielak baik mungkin agar tidak mebawa akibat buruk kepada Asean. Negara-negara Asean tidak perlu memihak kepada sesiapa sekalipun tetapi sebaliknya perlu kekal dan kukuh mempertahankan setiakawan, kerukunan, kemakmuran dan kesejahteraan Asean.
Oleh itu Asean perlu memainkan peranan penting agar pertembungan dua kuasa besar dunia ini tidak berlaku di Asia Tenggara terutamanya di Laut China Selatan, samaada ia pertembungan yang hanya melibatkan psywar mahupun provokasi tetapi juga menghentikan serta mengelak berlakunya perseteruan berpanjangan yang berkemungkinan akhirnya menjadkani Laut China Selatan sebagai medan tempur bagi kedua-dua kuasa besar dunia ini.
Asean perlu bertindak untuk menjadikan Laut China Selatan mahupun Asia Tenggara sebagai zon bebas perang mahupun selamat daripada campurtangan kuasa asing. Sudah sampai masa Asean perlu bertindak mahupun berdiri di atas kaki sendiri tanpa melibatkan mana-mana pihak demi untuk kepentingan negara-negara Asean.
Kita tidak mahu negara-negara Asean menjadi medan pertempuran samada secara nyata mahupun tidak sebagaimana yang berlaku di Asia Barat dan Asia Tengah. Jika dibiarkan berlarutan, keadaan akan menjadi semakin buruk dan mampu menjejaskan kestabilan Asia Tenggara dan memporak perandakan Laut China Selatan.
Bertindaklah sebelum terlambat, Asean wajar menjadi tempat yang selamat dan bebas daripada campurtangan mana-mana pihak. Semoga negara-negara Asean bersatu hati, cekal dan teguh dalam mendepani cabaran geopolitik saat ini demi untuk kemakmuran dan kesejahteraan setiap rakyat dan negara-negara Asean.
Islam Memperkukuh Perpaduan.
YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment