TEKA TEKI mengenai siapa Perdana Menteri ke-9 hampir terjawab apabila ahli-ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan ke Istana Negara pagi ini bagi mengesahkan surat akuan bersumpah (SD) sokongan mereka kepada calon Perdana Menteri (PM).
Mereka, seramai 114 orang akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam lima sesi.
Kata Setiausaha Agung UMNO yang juga Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan malam tadi: “Ahli Parlimen ke Istana Negara esok. 10 pagi GPS, 11 pagi Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia); 2 petang UMNO; 3 petang UMNO/ BN dan 4 petang Pas,”
Daripada 220 Ahli Parlimen, khabarnya yang mencalonkan Ismail adalah PPBM 31, Pas 18, UMNO 37, MCA 2, MIC 1, GPS 18, Bebas 4, PBRS 1, PBS 1, Star 1. Manakala Anwar Ibrahim yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dikatakan memperoleh 92 SD iaitu PKR 35, DAP 42, PAN 11, Bebas 2, PSB 2.
Ada juga laporan mengatakan yang tidak menghantar SD ialah 13 ahli Parlimen. Andai 92 dicampur 13, kumpulan Anwar hanya ada 105.
Difahamkan hanya kumpulan yang mempunyai SD teramai dipanggil menghadap.
Apa pun kita tunggu keputusan muktamad. Itu episod lebih penting, bukan lagi dengan pelbagai propaganda yang tidak berkesudahan, mencari kelemahan di sana sini, mencanang kononnya pemimpin dunia turut menyokong individu tertentu. Biarlah Malaysia menentukan kerajaan sendiri.
Andai kumpulan 114 ini berjaya, apa pula nama kerajaan baharu ini? Yang ini pun boleh jadi masalah. Macam-macam kenyataan sedang berlegar.
Untuk rekod ini kali ketiga kerajaan bertukar. Selepas BN tewas pada pilihan raya umum (PRU), PH mengambil alih tetapi sekadar 22 bulan. Kemudian PN yang dianggotai Bersatu, Pas, Star, PBS serta disokong UMNO, BN dan GPS hanya bertahan 18 bulan.
Kini akan terbentuk pula kerajaan baharu, berbaki lebih kurang 20 bulan, itu pun jika tidak ada PRU awal.
Sudah ada yang bertanya apa nama kerajaan baharu ini apabila UMNO @ BN bukan anggota tetap PN? Tidak mungkin BN. Atau adakah PN dikekalkan walaupun sudah mendapat pelbagai label? Atau kerajaan perpaduan? Kerajaan muafakat?
Jangan pula kerana nama, ‘bergaduh’ lagi dalam kalangan pemimpin parti dan diapi-apikan pula oleh pihak di luar.
Sesuatu yang menarik perhatian, jika Ismail Sabri diterima sebagai PM, bermakna parti yang menang besar diberi tanggungjawab sebagai ketua. Keadaan ini berbeza ketika era PH apabila Bersatu yang minoriti dilantik sebagai PM. Begitu juga semasa PN apabila Bersatu sebagai PM.
Tidak kisahlah siapa pun yang pimpin dan apa nama gabungan baharu ini. Apa ada pada nama. Tetapi dalam kalangan rakyat kita ada yang lebih gemar ‘cuit sana sini, selak sana sini, mencari apa sahaja termasuk yang remeh-temeh bagi menjejaskan pihak tertentu termasuk kerajaan.
Cukuplah. Berilah fokus kepada masalah yang dihadapi negara dan rakyat. Jangan ganggu lagi.
Sama ada kerajaan atau pembangkang, ambillah titah nasihat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong – yang menang menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan pihak yang tidak berjaya, sebagai satu pasukan.
Sementara menunggu PRU, berilah ruang kepada kerajaan Malaysia yang ketiga ini – yang terbentuk hasil permuafakatan antara parti politik menjalankan tanggungjawabnya sebagai sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh. Ketepikan dendam yang masih terbuku.
Sama-sama bermuafakat untuk kepentingan rakyat dan negara bagi memerangi Covid-19 serta memulihkan ekonomi.
-BebasNews
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment