KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen UMNO yang masih menyokong Perikatan Nasional (PN) susulan surat dikeluarkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) memaklumkan penangguhan pemilihan parti tidak sah.
Presiden UMNO itu turut bertanya kepada Ahli Parlimen UMNO yang menjadi menteri dan timbalan menteri adakah mereka masih mahu menyokong kerajaan ketika parti diuji dengan keputusan ROS itu.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk bagaimanapun menegaskan, UMNO tidak akan berdiam diri dengan ketetapan dibuat ROS itu.
"UMNO tahu apa perlu dilakukan. Namun bagaimana dengan Ahli Parlimen UMNO yang masih menyokong kerajaan PN?
"Apakah mereka yang mempertahankan kerajaan PN pimpinan Presiden BERSATU merestui tindakan kerajaan PN ke atas parti mereka sendiri?
"Saya seru kepada mereka bukalah mata hati dan insaflah perjuangan politik yang sebenar demi rakyat dan negara," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Kelmarin, ROS menetapkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.
Ketua Pengarahnya, Jasri Kasim, berkata ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.
Justeru, ROS meminta UMNO membuat permohonan penangguhan mesyuarat agung atau pemilihan dengan mengemukakan cadangan tarikh baharu kepada ROS dalam tempoh terdekat.
Dalam hal ini, Ahmad Zahid berkata, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sudah memberi penjelasan lengkap mengenai perkara berkaitan pemilihan UMNO yang dibangkitkan ROS.
"Bermula daripada perbincangan Mesyuarat MKT UMNO sehingga kepada maklum balas oleh KKM (Kementerian Kesihatan), ROS dan MKN (Majlis Keselamatan Negara) berhubung penangguhannya.
"Inti pati surat KKM dan MKN yang mencadangkan supaya mesyuarat serta pemilihan UMNO dibuat secara dalam talian turut didedahkan," katanya.
Ahmad Zahid turut menegaskan, penangguhan pemilihan UMNO tidak boleh disamakan dengan penangguhan sidang Parlimen kerana ia membabitkan 66,287 mesyuarat dan 3.3 juta ahli UMNO.
"Terdapat juga 764 persidangan perwakilan bahagian terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat di Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri.
"Manakala sidang Parlimen masih boleh diteruskan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang mudah untuk dipantau serta dipastikan pematuhannya," katanya.
Beliau juga menzahirkan kebimbangan yang perkembangan mutakhir ini satu tindakan terdesak kerajaan cuba menekan dan melemahkan UMNO.
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment