Ahmad Yazid. FOTO NSTP |
Seruan itu dibuat 13 Badan Bukan Kerajaan dalam kenyataan media oleh Gabungan Melayu Islam pada Ahad.
Jelas gabungan itu, keadaan yang genting dihadapi oleh rakyat ketika ini perlu diselesaikan bukan dengan percakaran politik, tetapi penyelesaian yang tuntas.
Koordinator NGO itu, Ahmad Yazid Othman berkata, sikap parti dan pemimpin parti yang sering bercakaran sesama sendiri hanya mengganggu proses pemulihan pandemik dan ekonomi dirancang kerajaan.
"Dalam keadaan genting kini kami menyeru agar parti-parti politik dari pihak kerajaan, pembangkang dan blok bebas supaya bekerjasama sebagai satu pasukan dan tidak terus bercakaran sesama sendiri dan mengganggu proses pemulihan dari pandemik yang masih jauh dari reda ini.
"Selagi mereka terus bercakaran sambil saling melemparkan cemuhan dan kata-kata nista antara satu sama lain, selagi itulah permasalahan COVID-19 ini tidak akan tuntas," jelas kenyataan itu.
Malah defisit kepercayaan rakyat terhadap institusi Parlimen dan kuasa eksekutif Jemaah Menteri juga boleh dipulihkan.
Namun ia memerlukan tindakan telus serta kesungguhan setiap ahli politik dalam membendung COVID-19.
"Rakyat juga kini rata-rata sudah hilang kepercayaan terhadap institusi Parlimen dan kuasa eksekutif Jemaah Menteri.
"Ini dapat dipulihkan segera dengan membuktikan kepada rakyat, para politikus dapat membuktikan secara telus akan wujudnya kesungguhan dan kerjasama dalam membendung pandemik ini secara kolektif," jelas kenyataan itu lagi.
Bagaimanapun, jika penyelesaian yang segera dan tegas tidak dapat dilaksanakan, dikhuatiri akan memberi kesan kepada kedudukan ekonomi negara sekaligus menyebabkan hala tuju pembangunan negara terencat.
Gabungan itu turut mengemukakan tiga cadangan mendesak kerajaan agar mengusulkan dengan segera kepada Yang di-Pertuan Agong.
Ia termasuk menyambung tempoh darurat kepada satu tarikh yang dianggap munasabah oleh Baginda bertujuan menstabilkan keadaan politik dan mengawal penularan pandemik COVID-19 yang semakin meruncing.
"Mewujudkan Majlis Gerakan Negara Pandemik bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong menentu serta memilih tokoh-tokoh yang dirasakan sesuai oleh Baginda untuk meneruskan pentadbiran.
"Dalam hal ini kami mencadangkan komiti MAGERAN tersebut harus diteraju secara non-partisan , bagi memastikan politik kepartian tidak mendahului kepentingan membela nasib rakyat.
"Ahli majlis mestilah yang berjiwa rakyat bukan mereka yang ingin menjaga kepentingan modal atau kepentingan jangka pendek kerana kita perlu melakukan reset yang bermakna pada sistem ekonomi dan politik sekarang," jelas Gabungan itu lagi.
Turut dicadangkan, Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan sebaik sahaja tempoh MAGERAN itu tamat iaitu pada Mei 2023 atau lebih awal bagi mengembalikan hak memilih kerajaan kepada rakyat.
Demikian jelas kenyataan gabungan itu terdiri daripada Pertubuhan Pembela-Pembela Islam ( PEMBELA), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia ( PPMM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Ia termasuk, Amal Sejagat Malaysia, Himpunan Anak Kedah Malaysia (HaKEM), Gabungan Demi Melayu, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM), Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Pertubuhan Pembangunan & Inovasi Wanita (WADI Malaysia), PAKAR Malaysia, Pertubuhan Sinar Rahmah dan MyVoice Malaysia.
No comments
Post a Comment