NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Statistik Siswazah 2020: Cabaran graduan, inisiatif kerajaan.



Laporan Statistik Siswazah 2020 yang dikemukakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati, persaingan untuk mendapatkan pekerjaan dalam kalangan siswazah semakin mencabar dengan kehadiran lebih ramai penganggur yang hilang pekerjaan semasa pandemik.

 

Secara ringkasnya, penawaran meningkat kepada 5.36 juta siswazah, kadar pengangguran siswazah meningkat 4.4%. Inisiatif kerajaan termasuk program subsidi upah 1.0 hingga 4.0, insentif pengambilan pekerja, bantuan kemahiran, bantuan usahawan, pembiayaan mikro, geran khas, dan insentif pendigitalan.


Dapatan Utama.
1. Bilangan siswazah di Malaysia pada tahun 2020 adalah 5.36 juta, meningkat sebanyak 4.4 peratus dari tahun 2019 (5.13 juta).

2. Bilangan siswazah dalam tenaga buruh meningkat 6.3 peratus kepada 4.56 juta (2019: 4.29 juta). Kadar penyertaan tenaga buruh siswazah meningkat kepada 85.0 peratus berbanding 83.5 peratus pada tahun 2019.

3. Bilangan siswazah yang bekerja adalah 4.35 juta orang, meningkat 5.6 peratus daripada 4.12 juta pada tahun 2019. Kadar pengangguran siswazah melonjak kepada 4.4 peratus dengan jumlah siswazah menganggur adalah 202,400 (2019: 165,200; 3.9%).

4. Bilangan siswazah perempuan yang bekerja sentiasa lebih tinggi daripada siswazah lelaki. Pada 2020, terdapat 2.21 juta siswazah perempuan yang merangkumi 50.7 peratus daripada keseluruhan siswazah bekerja.

5. Bilangan siswazah Bumiputera merangkumi 63.7 peratus (2.77 juta), Cina 24.4 peratus (1.06 juta), India 7.2 peratus (312,900) dan lain-lain etnik 4.6 peratus (202,200).

6. Dari segi status pekerjaan, lebih daripada 80 peratus siswazah bekerja adalah dalam kategori pekerja dengan bilangan seramai 3.80 juta. Siswazah bekerja sendiri atau usahawan merangkumi 7.1 peratus atau 307,700.

7. Sejumlah 70 peratus siswazah adalah penganggur aktif yang terdiri daripada 158,400. Daripada jumlah ini, siswazah yang menganggur kurang dari 3 bulan sebanyak 45.1 peratus (71,400). Sementara itu, 30.1 peratus (47,600) dan 14.8 peratus (23,500) menganggur dalam tempoh 3-5 bulan dan 6-12 bulan. Siswazah yang menganggur lebih dari satu tahun merangkumi 10.1 peratus atau 16,000.

Inisiatif Kerajaan.
1. Untuk mengurangkan impak pandemik COVID-19, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan. Sehingga 18 Jun 2021, permohonan subsidi upah yang diluluskan di bawah PRIHATIN dan PENJANA melalui Program Subsidi Upah (PSU) 1.0 telah mencapai nilai RM12.90 bilion dengan 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja yang berdaftar.

2. Seterusnya, bagi Program Subsidi Upah (PSU) 2.0, sebanyak RM1.28 bilion telah disalurkan kepada 75,262 majikan untuk menyokong mereka dalam meneruskan operasi serta mengekalkan pekerja seramai 659,066 orang.

3. Di samping itu, seramai 137,659 pekerja telah mendapat pekerjaan melalui Program Insentif Pengambilan dan Bantuan Latihan di mana industri yang paling ramai pengambilan pekerja adalah sektor Pembuatan serta Perdagangan borong dan runcit. Selain itu, seramai 143,309 orang telah diterima untuk mengambil bahagian dalam Program Latihan dan Kemahiran Semula.

4. Seterusnya, bagi membantu PKS Bumiputera yang terjejas akibat COVID-19, sejumlah RM226.8 juta telah disalurkan kepada 749 PKS di bawah Pembiayaan Bantuan Bumiputera (BRF). Pada masa yang sama, melalui Pembiayaan Kredit Mikro PENJANA, terdapat sebanyak 12,667 PKS Mikro termasuk sektor peruncitan dan perkhidmatan telah mendapat manfaat berjumlah RM421.2 juta.

5. Di samping itu, pelbagai inisiatif diperkenalkan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) untuk menyokong perniagaan dan mengekalkan pekerja dalam pasaran buruh.

6. Antaranya Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 kepada usahawan PKS mikro yang layak terutamanya kepada mereka yang masih tidak dibenarkan beroperasi, Program Subsidi Upah (PSU) 4.0 untuk membantu majikan membayar gaji pekerja mereka, pengecualian levi HRD untuk tempoh dua bulan akan diberikan secara automatik kepada majikan yang tidak dapat beroperasi semasa tempoh PKP, Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK), Program PenjanaKerjaya 3.0 dan seumpamanya.

Syahir Sulaiman, 27 Julai 2021
Sumber: Statistik Siswazah 2020; Statistik Utama Tenaga Buruh di Malaysia (Mei 2021); Jabatan Perangkaan Malaysia.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo