Setelah lebih setahun dunia menghadapi Pandemik Covid-19, sudah banyak perkara yang dipelajari oleh para pemimpin, politikus, pembuat dasar, pengkaji, akademikus malah masyarakat awam turut memperolehi pelajaran yang begitu berharga. Lebih menarik lagi, melalui dunia maya yang demokratik, masyarakat awam pun turut memberi pandangan-pandangan mereka berkaitan apa yang seharusnya diputuskan oleh kerajaan dan apa yang sewajarnya dielakkan. Secara tidak lansung, Pandemik ini banyak mengajar kita ilmu yang suatu masa dahulu hanya ditekuni oleh golongan terpilih.
Bagaimanapun tidak dapat dinafikan, kepantasan perolehan ilmu oleh masyarakat awam selalu berada di garisan belakang perkembangan semasa ilmu berkaitan dengan Pandemik Covid-19. Malah tidak keterlaluan para pemimpin dan politikus juga sering terlewat, berbanding dengan para pembuat dasar, pengkaji dan akademikus. Perkembangan ilmu berkaitan Pandemik Covid-19 ini begitu pantas, sepantas berkembangnya sains dan teknologi pada kini. Demikianlah hakikatnya, sehingga dapat dilihat pandangan yang diberikan oleh para pemimpin, politikus dan masyarakat awam sering terlewat.
Salah satu ilmu berkaitan dengan Pandemik Covid-19 yang berkembang begitu pantas ialah Pengurusan Pandemik Covid-19. Ilmu ini telah pesat berkembang sehingga cara menguruskan Pandemik Covid-19 setahun yang lalu sudah jauh berubah berbanding kaedah pengurusan terkini. Sebenarnya praktis kawalan pergerakan (lockdown) sudah tidak lagi dilihat menjadi pendekatan utama mengawal Pandemik Covid-19. Hari ini, Pengurusan Pandemik Covid-19 mula melihat keperluan untuk masyarakat awam keluar meneruskan kehidupan bersama-sama Covid-19 di sekitaran.
Naratif untuk melawan Covid-19 lebih setahun yang lalu ialah "memutuskan rantaian Covid-19" atau "menuju sifar atau satu digit jangkitan Covid-19”. Naratif seumpama ini sebenarnya sangat sukar untuk dicapai terutama bagi sesebuah negara seperti Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka. Corak pemikiran (mindset) seperti ini perlu berubah. Naratif yang seharusnya pada hari ini tidak lagi seperti itu. Sekarang mahu tidak mahu, kita akan hidup bersama Covid-19 sepertimana sebelum ini kita hidup bersama Aids, Denggi dan lain-lain wabak. Tiada kawalan pergerakan untuk wabak-wabak tersebut.
Dalam konteks negara Malaysia, masyarakat awam masih dibuaikan dengan kejayaan Perintah Kawalan Pergerak (PKP 1.0) setahun yang lalu, yang berjaya menurunkan jangkitan Covid-19 sehingga ke satu digit. Dengan sebab itu, masyarakat awam terus mendesak supaya diulangi pelaksanaan tersebut, sedangkan ia tidak mungkin dapat dicapai sekarang. Corak pemikiran masyarakat awam sewajarnya berubah, dan ia seharusnya bermula dari pemimpin dan politikus. Negara-negara Eropah, sudah mengorak Langkah ke arah itu. Mereka mulakan dengan kempen Euro 2020. Stadium sudah mula dipenuhkan dan boleh rentas negara.
Menyedari hakikat tersebut, pendekatan kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara (PEMULIH) adalah lebih seimbang. Kegiatan ekonomi seperti sektor perkilangan, restoran malah gerai-gerai di tepi jalan, food truck dan gerai-gerai buah-buahan dibuka seperti biasa. Disebabkan kadar jangkitan masih tinggi dan kadar vaksinasi masih belum mencapai tahap dikehendaki, kawalan pergerakan masih dikuatkuasakan. Penguatkuasaan kawalan pergerakan ini bukan seperti matlamat PKP 1.0 untuk memutuskan rantaian Covid-19 atau menurunkan sehingga satu digit jangkitan Covid-19. Hakikat inilah yang tidak begitu disedari oleh sesetengah pemimpin, politikus dan masyarakat awam.
Penguatkuasaan kawalan pergerakan hanyalah untuk melengah-lengahkan jangkitan Covid-19 sebelum Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mencapai sasaran imuniti kelompok seawal November tahun ini. Dengan melengah-lengahkan jangkitan Covid-19 ini, kapasisti sistem kesihatan nagara dapat menampung pesakit-pesakit Covid-19 berbanding dengan tiada kawalan langsung, yang pasti akan meranapkan kapasiti tersebut. Pada masa yang sama, PICK ini dipacu dengan begitu pantas, kerana apabila imuniti kelompok berjaya dicapai, saringan Covid-19 di masa itu bukan lagi kemestian.
Pengurusan Covid-19 negara kita sedang menuju ke sasaran tersebut, iaitu vaksinasi besar-besaran sebagai jalan keluar bagi negara untuk menghadapi Pandemik Covid-19. Sekiranya ada pihak yang menilai kejayaan atau kegagalan kerajaan menangani Covid-19 dengan neraca pengurusan lama, sudah pasti penilaian itu tersasar. Malaysia tidak boleh tertinggal di belakang negara-negara lain yang sudah menguruskan Pandemik Covid-19 dengan pendekatan baru. Sektor ekonomi perlu dibuka apabila sampai masanya dan kehidupan kita perlu diteruskan, tetapi bersama-sama dengan Covid-19 di sekitaran.
No comments
Post a Comment