NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pinjaman: Peneroka lega kerajaan PN prihatin


GUA MUSANG: Masyarakat peneroka Felda di sini terharu di atas kesungguhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Seorang peneroka dari Felda Chiku 5, Abd Rahman Jusoh berkata, limpahan rezeki berganda buat peneroka Felda di bawah kerajaan sekarang.

Katanya, sebelum ini peneroka menarik nafas lega apabila harga sawit meningkat begitu tinggi dalam tempoh 13 tahun mulai Mac lepas.

“Perkembangan yang berlaku sekarang tambah melegakan lagi apabila Perdana Menteri memberitahu kerajaan bersetuju pada dasarnya melupuskan sebahagian pinjaman peneroka,” katanya di sini.

Kerajaan PN hari ini secara dasar bersetuju dengan cadangan Felda untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia akan dilaksanakan melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutama bagi generasi awal.

“Dengan inisiatif itu bebanan pinjaman yang ditanggung peneroka akan berkurangan sebanyak purata 80 peratus setiap peneroka,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Peneroka Felda 2021 secara maya hari ini.

Purata bayaran balik pinjaman pula dijangka berkurangan daripada RM800 hingga RM1,000 kepada hanya RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit.

Dan serendah RM150 bagi peneroka getah iaitu satu kadar yang sangat munasabah dan mampu dibayar peneroka.

Peneroka Felda Aring 1, Wan Ismail Wan Mamat pula berkata, insentif yang diumumkan perdana menteri hari ini banyak melegakan peneroka yang berjuang sejak sekian lama bagi menghapuskan hutang.

Pegawai Seranta Dun Paloh, Azman Ahmad berkata, kenaikan harga minyak sawit bermula Mac lepas menguntungkan tiga juta rakyat Malaysia.

Katanya, ia sekaligus mampu mengeluarkan masyarakat peneroka daripada belenggu kemiskinan kerana kesan kenaikan turut dirasai golongan M40 dan T20.

Menurut beliau harga minyak sawit mentah (MSM) di pasaran dunia pada Jun lepas sekitar RM4,000 hingga RM4,500 per tan. Sedangkan sebelum itu hanya sekitar RM2,000 pada 2019.

“MSM melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah industri sawit negara sehingga RM4,247.50 setiap tan Mac lepas. Harga itu tertinggi sejak 13 tahun lalu,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/7/2021

https://harakahdaily.net/index.php/2021/07/07/pinjaman-peneroka-lega-kerajaan-pn-prihatin/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo