KUALA LUMPUR: Pesakit COVID-19 yang mahu mendapatkan rawatan di hospital swasta, perlu menanggung sepenuhnya kos rawatan dikenakan dan akan dilayan sama seperti pesakit penyakit lain.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh, berkata ia berikutan perjanjian antara pihak swasta dan kerajaan ketika ini, hanya membabitkan penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 ke pusat perubatan swasta.
Katanya, penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 itu bertujuan memberi lebih banyak ruang di hospital awam, sekali gus boleh merawat lebih ramai pesakit COVID-19 yang semakin bertambah ketika ini.
Sehubungan itu, katanya, pesakit COVID-19 dirawat di pusat perubatan swasta adalah atas pilihan sendiri, sekali gus perlu menanggung sepenuhnya kos rawatan yang dikenakan.
"Kerajaan tidak hantar pesakit COVID-19 ke hospital swasta, sebaliknya mereka mahu datang sendiri dan tidak membabitkan sebarang prosedur dengan kerajaan, sekali gus perlu membayar penuh kos rawatan.
"Kos rawatan yang dikenakan adalah seperti biasa dan sama seperti pesakit lain yang membabitkan masalah paru-paru, sama ada perkhidmatan doktor, ubat-ubatan serta kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU).
"Tiada keistimewaan untuk rawatan COVID-19. Penyakit ini perlukan rawatan rapi yang membabitkan kos tinggi. Kita tak dapat nak kurangkan kerana rawatannya memang membabitkan kos yang mahal," katanya kepada BH, hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan media berhubung kos rawatan pesakit COVID-19 yang dikatakan tinggi di hospital swasta, dengan pesakit perlu membayar deposit antara RM10,000 hingga RM50,000.
Sebuah hospital swasta di Shah Alam dilapor mengenakan caj RM8,000 hingga RM10,000 seminggu kepada pesakit COVID-19 Tahap 3, manakala sebuah lagi hospital swasta mengenakan kos RM20,000 hingga RM30,000 sehari kepada seorang pesakit COVID-19 yang memiliki masalah buah pinggang.
Walaupun kos dikenakan tinggi, Dr Kuljit menegaskan nilai itu adalah sama seperti yang ditanggung hospital kerajaan kerana rawatan pesakit COVID-19 menggunakan kelengkapan dan ubat yang mahal.
Katanya, ubat dan kelengkapan itu perlu dibeli dari negara luar, yang menyebabkan kos bertambah tinggi kerana membabitkan pertukaran wang asing.
Bezanya, beliau berkata, kerajaan menanggung sepenuhnya kos di fasiliti kesihatan awam, sekali gus pesakit tidak tahu berapa jumlah yang ditanggung kerajaan, berbanding di hospital swasta.
"Kos tinggi ini juga bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Anggaran kos sama seperti penyakit coronavirus lain yang menyerang paru-paru seperti SARS, MERS-CoV, Ebola dan virus Nipah, tiada keistimewaan bagi COVID-19.
"Dakwaan pihak swasta mengaut untung besar, khususnya semasa pandemik ini tidak benar. Untung memang ada, tapi kecil dan kebanyakan kos dikenakan adalah nilai rawatan sebenar kepada pesakit," katanya.
Ditanya mengenai kos dikenakan kepada kerajaan bagi penyumberluaran pesakit bukan COVID-19, Dr Kuljit berkata, ia bergantung kepada setiap kes, namun dipersetujui secara bersama dengan kerajaan dan sudah diberikan diskaun.
Katanya, pihak swasta tidak cuba mengaut untung melalui perjanjian penyumberluaran itu, sebaliknya bayaran dikenakan adalah bagi menampung kos ditanggung pusat perubatan swasta.
"Ada hospital swasta yang beri diskaun kepada kerajaan antara 20 hingga 30 peratus, selain ada yang sanggup menelan kerugian asalkan dapat meringankan beban kerajaan dan pesakit.
"Ada sesetengah doktor swasta yang merawat pesakit bukan COVID-19 daripada hospital kerajaan juga rela untuk tidak dibayar kerana kami mahu membantu dalam situasi pandemik ini, bukan cari untung," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan proses penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 di Lembah Klang sudah bermula Selasa lalu, membabitkan 800 pesakit dipindahkan ke 38 pusat perubatan swasta di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
- NST
No comments
Post a Comment