– Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH
27 JULAI : Tidak timbul isu kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa seperti mana yang didakwa oleh Ahli Parlimen pembangkang di Persidangan Khas Dewan Rakyat.
Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia, Datuk Razali Idris berkata, ini dibuktikan menerusi kenyataan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan jelas menyatakan Yang di-Pertuan Agong telah perkenan kerajaan memanggil mesyuarat khas Penggal Ketiga Penggal Ke-14 bagi Dewan Rakyat yang bersidang bermula 26 Julai 2021 sehingga 2 Ogos 2021.
Justeru, beliau menegaskan sewajibnya semua Ahli Parlimen perlu menghormati hasrat murni Seri Paduka Baginda agar mesyuarat khas Parlimen dijayakan dalam keadaan lancar yang dilaksanakan sebagai satu proses semak dan imbang untuk melihat negara terus ditadbir dengan baik.
“Jangan dicemarkan kesucian Dewan Rakyat dengan polemik serta retorik yang telah ditunjukkan oleh Ahli-ahli Parlimen pembangkang semalam.
“Sikap Ahli Parlimen pembangkang Dewan Rakyat tidak langsung menunjukkan sebagai seorang penggubal undang-undang malahan tidak langsung menghormati Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, sekaligus mencemarkan nama baik institusi Parlimen Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Rakyat Malaysia sangat hairan akan sikap “penyakit mental” Ahli Parlimen pembangkang yang diterjemahkan di dalam Dewan Rakyat semalam kata Razali.
Dalam pada itu, Razali memaklumkan kekecohan yang melampau dan kejahilan berhujah di kalangan Ahli Parlimen pembangkang dalam mesyuarat khas Parlimen di Dewan Rakyat boleh disifatkan sebagai ‘penyakit mental’ yang tidak enak disajikan kepada pengundi dan rakyat.
“Tingkah laku Ahli Parlimen pembangkang yang langsung tidak menghormati Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun serta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta mencemuh Menteri Kewangan yang juga Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sesi penggulungan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah perbuatan yang sungguh biadab.
“Rakyat Malaysia sangat hairan akan sikap “penyakit mental” Ahli Parlimen pembangkang yang diterjemahkan di dalam Dewan Rakyat semalam kerana rakyat Malaysia amat mengharapkan penerangan, perbincangan, perbahasan dan pertanyaan yang bernas dan berilmiah dapat dicapai dengan solusi terbaik bagi membantu rakyat dan ekonomi negara, “katanya.
Sementara itu, Razali yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, pentas Parlimen adalah mencari kaedah terbaik untuk mencari formula pengurusan hal ehwal kemasyarakatan.
” Ini perlu bagi mendepani dan menguruskan permasalahan pandemik COVID-19 dengan perancangan strategik yang efisien dan efektif menerusi penerangan Menteri-menteri yang telah diaturkan dalam aturan urusan mesyuarat dewan.
“Jangan dimomokkan dengan sikap jelik dan membuang masa sepanjang mesyuarat khas Parlimen ini. Pengundi dan rakyat Malaysia kini memerhatikan wakil rakyat yang berwibawa untuk pilihan raya umum yang akan datang ini,” katanya.
http://www.pnbbcportal.com/2021/07/27/pembangkang-jangan-cemar-dewan-rakyat-dengan-retorik-politik/
No comments
Post a Comment