KUALA LUMPUR: Permulaan positif buat atlet pelayaran wanita negara, Nur Shazrin Mohd Latif apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-11 keseluruhan acara laser radial selepas mengharungi dua perlumbaan pada saingan Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini.
Pada saingan yang berlangsung di Enoshima Yacht Harbour itu, Nur Shazrin yang membuat penampilan kedua di pentas Olimpik bermula cemerlang apabila menamatkan perlumbaan pertama di tempat ketiga.
Atlet berusia 23 tahun itu bagaimanapun gagal mengekalkan momentum berkenaan apabila sekadar menamatkan aksi di kedudukan ke-25 dalam perlumbaan kedua.
Selepas dua perlumbaan, Nur Shazrin berada di kedudukan ke-11 keseluruhan daripada 44 pelayar yang bertanding dengan 28 mata.
Masih ada baki lapan lagi perlumbaan yang perlu diharungi sebelum pusingan merebut pingat yang mana hanya 10 pelayar terbaik layak beraksi di pusingan akhir.
Esok, pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2018 itu akan meneruskan aksi untuk perlumbaan ketiga dan keempat.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, memuji prestasi cemerlang ditampil Nur Shazrin dan berharap atlet dapat mengekalkan momentum dalam baki lapan lagi perlumbaan.
"Syabas Nur Shazrin di atas prestasi yang baik dalam acara laser radial wanita sebentar tadi (hari ini). Eyin menduduki tempat ketiga (Race 1) dan ke-25 (Race 2).
"Selepas dua perlumbaan dijalankan, dia menduduki ranking ke-11 secara keseluruhan daripada 44 pelayar. Masih terdapat baki 8 perlumbaan yang perlu dilalui oleh dia sebelum melayakkan diri ke pusingan perebutan pingat (10 pelayar terbaik).
"Kami bangga dengan anda dan moga berjaya untuk perlumbaan ketiga," kata Reezal di Instagram miliknya.
- BH
No comments
Post a Comment