NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MB Kedah kongsi pengalaman urus misi bantuan ke Palestin

Sanusi bersama Prof Dr Muhammad Awad, Perdana Menteri pihak berkuasa Gaza
Saya dan rakan-rakan ada sedikit pengalaman melaksanakan misi kemanusiaan ke luar negara - ke kem-kem pelarian di Bangladesh, ke Arakan di Myanmar, Seiyun, Maarib, Sana'a di Yamen, Lombok, Sulawesi, dan Sumbawa di Indonesia, kem-kem pelarian Syiria di Zaqtari, Irbid dan Mafraq Jordan, Beirut Lebanon- termasuk misi ke Gaza pada 2019 bersama PASRelief dan beberapa NGO lain. 
Walaupun tak dapat menembusi sekatan sempadan dan kebetulan waktu kami tiba di Kaherah, Israel sedang membedil Gaza, kami telah ikhtiarkan sehingga lumat segala jalan dan kaedah untuk masuk dan memastikan dana yang dibawa hasil sumbangan orang ramai sampai tepat kepada sasaran. 

Kami berhubung dengan Sdr Nadir An Nuri sejak awal lagi, bertanya dan memaklumkan keperluan utama di sana, supaya beliau dapat bantu apa saja keperluan atas kapasiti beliau dan pengalaman menguruskan dana kemanusiaan. Paling mustahak adalah keizinan dan jalan-jalan untuk masuk ke Gaza.
Kami turut dibantu oleh NGO-NGO Palestin yang berkredibiliti yang berpengkalan di Malaysia, di Mesir, di United Kingdom, dan orang perhubungan atas tanah dan di bawah tanah di Mesir.

Keduataan kedua-dua negara dihubungi, dokumen-dokumen yang wajib dibereskan lebih awal. Semua langkah-langkah wajib tentang hal ehwal imigresen izin masuk terletak disenarai teratas 'checklist' misi.
Pertama sekali peserta rombongan perlu menyediakan sendiri perbelanjaan tiket penerbangan, penginapan, makan minum dan belanja kecemasan sepanjang misi. Tidak wang untuk belanja asas ini, tidak boleh ikut. 

Kedua perlu dinyatakan jumlah dana yang berjaya dikutip, jumlah yang dibawa dan kos program yang dirancang untuk dilaksanakan.

Ketiga perlu dipastikan orang perhubungan kita di lokasi adalah warga tempatan atau rakan kerjasama sama ada pertubuhan atau invidu yang boleh dipercayai, berpengalaman dan mempunyai rekod yang baik menguruskan bantuan kemanusiaan. 
Bangladesh adalah bumi yang ramai melahirkan tokoh 'industri kemanusiaan' (humanitarian industry)- mereka kaya pelarian melarat. Ramai yang terkena dengan tokoh-tokoh itu, dan dana mungkin hangus separuh atau lebih besar daripada itu. 

Hal ini boleh diperiksa dengan rakan-rakan dari seluruh dunia yang pernah melakukan misi kemanusiaan sebelum ini. Pengalaman pihak lain adalah pasport untuk keselamatan dana, menjimatkan belanja dan masa kepada kita. 

Perlu update secara harian apa yang sedang dilakukan sebelum, sepanjang dan selepas misi supaya para penyumbang termaklum duit mereka sedang berada di mana dan ke mana akan/telah dibelanjakan. 

Apa saja barangan untuk sumbangan boleh didapatkan di lokasi atau bandar paling hampir, melainkan lokasi itu musnah dan tidak ada yang boleh dibeli di sana. Hal ini perlu dirujuk kepada warga tempatan. 

Jika mereka boleh dapatkan barangan yang diperlukan, kita periksa pula harganya dengan rakan-rakan lain. Setahu saya Gaza memiliki semuanya melainkan wang ringgit untuk membayar harganya. Demikian di tempat-tempat lain pun, mereka lebih tahu daripada kita. 

Tentang misi ke Gaza, kami terkandas di Mesir 8 hari, tetapi setiap peserta tidak duduk diam. Setiap hari kami ikhtiarkan kaedah dan jalan yang munasabah, berhubung dengan orang-orang perhubungan dari serata negara dan pertubuhan yang dapat membantu. 

Pada hari ke 3, ada pihak yang menawarkan bantuan untuk masuk ke Gaza tetapi harus membayar kos tertentu (USD10,000 seorang peserta - sangat mahal- katanya sebagai pelbagai jaminan). Mereka sedang membawa masuk peserta dari Jordan pada waktu itu. Kami menolaknya kerana tidak ada biaya untuk tujuan itu. Kami khuatir ia bukan untuk penduduk Gaza tetapi untuk pihak lain. 

Pada hari ke-4 itu juga kami dikunjungi wakil Pemerintah Gaza yang berada di Mesir dan berjanji akan mencari ikhtiar supaya kami dapat masuk atau setidak-tidaknya dana yang dibawa sampai ke Gaza. Mereka diarahkan oleh pihak di dalam Gaza untuk menguruskan kami sedaya yang termampu. 

Mereka memberi beberapa opsyen. Wakil itu pula telah dipastikan melalui pemeriksaan dengan beberapa pihak dan kebetulan beliau adalah tokoh paling dihormati di kalangan pimpinan pihak berkuasa di Palestin. 

Pada hari ke lima mesyuarat diadakan untuk menentukan penyelesaian terbaik, buat semua pihak, terutama memastikan dana itu sampai dan kos penginapan dan makan minum tidak terus meningkat. Kami maklumkan kepada mereka keputusan dan opsyen yang kami ada. 

Setelah dua hari wakil itu berikhtiar, kami ditemukan dengan Prof Dr Muhammad Awad, Perdana Menteri pihak berkuasa Gaza yang menyusup keluar menemui kami di satu 'safe house' di satu lokasi. Katanya jangan update apa-apa di media sosial sehingga dia berjaya masuk semula Gaza. Dana itu bertukar tangan dan kami berangkat pulang ke Malaysia pada hari ke 9. 

Sebaik tiba di Malaysia, kami menerima gambar dan video majlis pengagihan dana yang kami serahkan kepada mereka. Walaupun serba sederhana, tetapi kami tahu ke mana dana itu disalurkan dan apa yang mereka dapat lakukan dengan bantuan itu. Saya berpuashati dengan misi itu dan memaklumkan di page PASRelief dan kepada media tentang perjalanan dan prosesnya.

Untuk misi ke Gaza, Palestin, Sdr Nadir An-Nuri adalah rujukan utama yang patut didahulukan kerana dia benar- benar memahami situasi di kedua-dua lokasi dan manusianya - penyumbang dan penerima.

Misi-misi kemanusian ke belahan bumi yang lain mempunyai catatan dan pengalaman berbeza, didasari latar belakang negara itu, kategori bencana yang menimpa, situasi semasa di lokasi, ragam manusia, pihak berkuasa dan keadaan geopolitik tanah itu. 

Akhir sekali kami bentangkan laporan kewangan dan laporan aktiviti setiap misi kemanusiaan PASRelief untuk diperiksa oleh perwakilan dalam muktamar tahunan...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo