KUALA LANGAT – Semenjak pandemik Covid-19 melanda dunia dan negara ini semua pihak terkesan dari sudut sosial dan ekonomi.
Rentetan dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang virus bahaya tersebut golongan B40 dan M40 menerima kesan dari sudut kewangan.
Jawatankuasa Masjid Kampung Jenjarum di sini
mengambil langkah pro aktif untuk memperkenalkan bantuan secara pandu lalu dalam meringankan beban kepada golongan tersebut.
Ketua Biro Kebajikan Jawatankuasa masjid tersebut, Mohd. Muslimen Omar,53, berkata bantuan yang disampaikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) tersebut dilaksanakan sebagai kesinambungan program infaq iftar sejak Ramadan lalu.
“Bantuan secara drive thru tersebut dilakukan setiap Jumaat dan Ahad bermula pukul 8 pagi sehingga pek bantuan seperti sayur-sayuran itu habis.
“Pihak kami turut mendapat sokongan daripada segelintir individu yang menginfaqkan wang dalam berkongsi rezeki,”katanya di sini hari ini.
Mohd.Muslimen berkata, idea program amal tersebut sebenarnya bermula pada bulan Ramadan tahun ini dengan modal RM100 dalam bentuk pengagihan 100 pek makanan mengandungi dua biji kuih untuk hidangan berbuka puasa.
Katanya lagi, program tersebut mendapat sambutan dengan pihaknya meneruskannya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan ( PKPD) waktu ini.
Jelasnya lagi, sumbangan dalam pelbagai bentuk seperti kewangan, makanan dan kemahiran turut disalurkan kepada pusat-pusat kebajikan dan sekolah agama khususnya di daerah ini.
“Kami juga mewujudkan Gerobok Rezeki Jalinan Kasih di satu sudut masjid ini bagi memastikan bantuan menyeluruh kepada kesemua yang terkesan.
“Kita berharap kesemua bantuan ini dapat memastikan kelangsungan kehidupan masyarakat selaras dengan #kitajagakita,”katanya.
-BebasNews
No comments
Post a Comment