12 JULAI : Hanya mereka yang masih gila berpolitiking membuat kenyataan bahawa Malaysia sudah gagal menangani wabak Covid-19, seolah-olah mereka berada di planet lain bukan di alam bumi, demikian menurut Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menurutnya, hal ini berlaku disebabkan oleh nafsu politik angkuh mereka terlalu tinggi dan sangat rakus mahu berkuasa.
Katanya lagi, tahap mereka yang terlalu berpolitiking ini sehingga sanggup mendakwa bahawa kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia yang melaksanakan tugas secara langsung melaporkan angka statistik penularan wabak Covid-19, dianggap sebagai berpolitik.
“Walaupun hakikat sebenarnya pihak yang melaporkan angka statistik tersebut wajib berterus terang, tidak boleh menyembunyikan realiti atau kenyataan sebenar yang berlaku di lapangan berhubung pandemik ini.
“Mereka masih ingin mengaku boleh menyelesaikan semua masalah dalam sekelip mata sahaja, sehingga sanggup merempuh keadaan paling mencabar yang masih dihadapi oleh mereka yang berada di barisan hadapan.
“Selain itu, terdapat juga mereka yang berani mencabar pihak yang menunaikan kewajipan menangani wabak ini, seperti orang buta memarahi orang yang menolongnya untuk menyeberangi jalan yang sibuk dan lalu lintas yang berbahaya,” tegas Abdul Hadi melalui satu kenyataan di Facebook rasminya hari ini.
Katanya lagi, dalam keadaan yang mencabar seperti ini, peranan semua pihak adalah wajib bagi menyelamatkan keadaan secara bersama dan menolak segala kepentingan peribadi, puak dan kumpulan.
“Di sinilah pentingnya memelihara perpaduan dan permuafakatan yang sedia terjalin bagi meredakan ketegangan dan mewujudkan kestabilan politik dalam negara,” ujarnya.
Sehingga kini menurut Ahli Parlimen Marang itu, belum ada negara dalam dunia yang boleh mendabik dada sudah berjaya menghadapi penularan wabak pandemik Covid-19, namun mereka tidak ada yang berputus asa.
Justeru katanya, dalam menghadapi ujian ini, Islam melarang para penganutnya daripada berputus asa.
“Kita perlu membuat perbandingan dengan apa yang pernah dilakukan oleh Nabi Ayyub AS ketika diuji dengan penyakit, apabila menghadapinya dengan penuh kesabaran.
“Kita perlu menyedari betapa masa sihat dan senang itu lebih panjang berkali ganda daripada masa sakit dan bencana.
“Namun, ramai dalam kalangan manusia yang lupa akan masa sihat yang panjang untuk bersyukur, sehingga lupa untuk bersabar ketika susah dalam masa yang lebih singkat.
“Rasulullah SAW meminta supaya kita sentiasa bersyukur apabila senang dan sihat supaya mendapat kelebihan dalam semua keadaan, serta bersabar apabila menghadapi kesusahan dan bencana,” jelasnya.
Sehubungan itu, Abdul Hadi menyeru semua pihak mendukung segala usaha dan perjuangan untuk menangani Covid-19 oleh pihak pemerintah tanpa berputus asa dan hendaklah bertolong-menolong bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN), demi menjaga nyawa seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik.
http://www.pnbbcportal.com/2021/07/12/hanya-pihak-gila-berpolitik-dakwa-negara-gagal-tangani-covid-19/
http://www.pnbbcportal.com/2021/07/12/hanya-pihak-gila-berpolitik-dakwa-negara-gagal-tangani-covid-19/
No comments
Post a Comment