KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan, Cinta Gaza Malaysia (CGM), hanya mengambil tiga peratus daripada dana sumbangan yang diterimanya sebagai kos pengurusan pertubuhan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif CGM, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, berkata kos itu diambil bagi menampung gaji 13 petugasnya dalam menguruskan pelbagai projek yang dilaksanakan oleh pertubuhan terbabit.
"Tiga peratus yang digunakan itu pun untuk (bayar) 13 kakitangan CGM, takkanlah mereka nak bekerja secara percuma.
"Kami tidak ambil gaji sampai berpuluh ribu, cukup-cukup sahaja untuk hidup sederhana," katanya ketika sesi Townhall CGM secara dalam talian hari ini.
Turut hadir pada sesi townhall itu termasuk Penasihat Bebas Audit Dalaman CGM, Mohd Faizal Suleiman dan barisan ahli jawatankuasa pertubuhan itu.
Sementara itu, mengulas dana RM20 juta yang didakwa disalurkan menerusi CGM, Muhammad Nadir menjelaskan yang sumbangan orang ramai itu dikendalikan secara bersama oleh pertubuhan itu dengan NGO lain di bawah MyAqsa Defenders (MAD).
Justeru itu, katanya, tidak mungkin penipuan mudah untuk dilakukan, memandangkan ada NGO lain yang sama-sama menguruskan sumbangan orang awam untuk penduduk Gaza.
"Tuduhan RM20 juta (masuk terus ke akaun) adalah sangat salah. Saya tidak salahkan sesiapa, ia disebabkan kejahilan mengenai perkara ini.
"RM20 juta ini bukan diuruskan oleh CGM sahaja, ia diuruskan oleh 20 anak muda melalui NGO yang berpuluh tahun dalam kerja kebajikan di bawah MAD.
"Penipuan dibuat oleh seorang (individu) logik, tetapi kalau dibuat secara berjemaah tidak mungkin logik," katanya.
Khamis lalu, pendakwah terkenal, Ebit Lew, ketika siaran langsung di laman sosial Instagram, meminta penjelasan pertubuhan itu, ke mana sumbangan orang ramai mencecah RM20 juta kepada Palestin dibelanjakan NGO terbabit.
Sementara itu, Mohd Faizal ketika mengesahkan kos pengurusan yang dikenakan oleh CGM, berkata pertubuhan itu menghantar laporan kewangan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dari tahun 2015 hingga 2019.
"Walaupun peningkatan ketara dana diterima pada 2018 hingga 2019, tetapi kos pengurusan CGM tidak melebihi tiga peratus.
"CGM mengamalkan kos pengurusan sangat minimum, untuk 2019, jumlah sumbangan diterima adalah RM5,175,109. Sebanyak 97 peratus disumbangkan terus kepada penduduk Gaza, manakala hanya tiga peratus digunakan bagi kos pengurusan," katanya.
Beliau turut berkata, jumlah kutipan sebanyak RM20 juta yang dipersoalkan sesetengah pihak sebelum ini adalah projek kolaborasi dengan MAD.
"RM20 juta itu baru diterima pada bulan lalu bagi melaksanakan projek jangka pendek dan panjang.
"Dana itu diterima hasil sumbangan orang ramai selepas berlakunya perang di Palestin, baru-baru ini," katanya.
Beliau berkata, pada Mei lalu, MAD sudah membentangkan beberapa projek yang akan dilaksanakan mengguna dana berkenaan, antaranya bagi projek klinik Malaysia Al-Aqsa, khidmat guaman di Sheikh Jarrah dan kafalah keluarga miskin di Baitulmaqdis.
Mohd Faizal turut memberitahu, laporan kewangan beraudit bagi 2020 yang pertama kali dilaksanakan oleh NGO itu dijangka dikeluarkan pada September ini.
No comments
Post a Comment