NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

AWER Persoal Pemutihan Kilang Haram Sejak 2008 Masih Belum Selesai

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor digesa menyegerakan proses pemutihan atau mengambil tindakan tegas ke atas premis dan kilang beroperasi secara haram, khususnya yang berpotensi mencemarkan sumber air negeri itu.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran, mempersoalkan proses pemutihan di negeri itu yang bermula pada 2008 mengambil masa terlalu lama hingga banyak premis kekal bermaharajalela dan berisiko mencemari sumber air mentah Selangor.

Malah, katanya, kerajaan Selangor dilihat teragak-agak dan mengambil masa lama memutuskan tindakan tuntas untuk menamatkan isu kilang dan premis yang beroperasi secara haram walaupun banyak kali isu gangguan bekalan air akibat pencemaran membelenggu penduduk Lembah Klang.

"Pencemaran begini bukan kali pertama, sudah berulang kali. Operator premis dan kilang biasanya mahu mengurangkan kos operasi, jadi antara kaedah ialah tidak merawat air sisa.

"Biasanya, mereka akan tunggu hujan untuk biarkan air sisa mengalir atau tunggu masa sesuai dibuang ke sungai dan longkang.

"Walaupun kita maklum dengan perkara sebegini dan isu kilang haram berlarutan bertahun lamanya, kerajaan Selangor belum membuat keputusan tegas mengenai perkara ini.'

"Menteri Besar dan kerajaan negeri perlu jawab kegagalan mengambil tindakan tegas menutup premis haram walaupun pencemaran dan gangguan bekalan air berlaku berulang kali," katanya ketika dihubungi BH, hari ini

Beliau mengulas mengenai premis yang menjalankan kerja melebur dan mengasingkan sisa besi secara haram di Kawasan Perindustrian Hi-Tech, Semenyih, yang disita pihak berkuasa, Khamis lalu.

Aktiviti haram premis dalam hutan dan dikelilingi ladang sawit itu terbongkar apabila Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengesan pencemaran longkang monsun di Taman Semenyih Permata, kira-kira 1.5 kilometer dari premis berkenaan.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian, berkata hujan semalam menyebabkan takungan air di premis itu yang dipercayai dicemari sisa peleburan besi, melimpah ke longkang monsun dan mengalir ke Sungai Semenyih.

Piarapakaran berkata, kelewatan proses pemutihan premis dan kilang haram turut menyebabkan kerajaan negeri kehilangan sumber yang besar.

"Kalau kilang beroperasi secara haram selama beberapa tahun, ia bermakna kerajaan negeri hilang sumber pendapatan dari segi lesen, cukai dan sebagainya.

"Jika kilang dan premis haram tidak diputihkan segera, ia merugikan kerajaan negeri. Saya tak faham kenapa proses ini mengambil masa lama," katanya.

Sumber : BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo