KUALA LUMPUR: Usahawan terkenal, Mawar Karim, percaya ada individu yang sengaja menyebarkan fitnah kononnya dia menjalinkan hubungan istimewa bersama Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.
Mawar memuat naik satu tangkap layar perbualan WhatsApp di InstaStory miliknya yang memberi bayangan isu tersebut sengaja ditimbulkan semata-mata untuk menjatuhkan reputasi seseorang.
“Saya ada beberapa perbualan ‘Datuk’ ini yang motif sebenarnya? Hmm… Seronok sangat ke dapat sebar berita fitnah ya? Apa maksud ‘masa dah suntuk?’ Apa motif dan apa agenda orang yang digelar ‘Datuk’ ini’,” dedah Mawar.
Bekas isteri pelakon terkenal, Fizo Omar itu turut memaparkan sekeping gambar yang dipercayai dalang terbabit.
“Minta perhatian Tun M tiada mengena dalam hal ini. Tuan-tuan jangan libatkan Tun M, ya. Tak sangka salah ‘seorang’ antara yang menjadi orang suruhan ‘Datuk’ adalah penulis, penyebar dan pereka cerita-cerita fitnah. Orangnya salah seorang dalam gambar. Terima kasih kerana anda telah menyebar fitnah dengan jayanya,” tulisnya.
Terdahulu, Mohd. Khairuddin menafikan mempunyai hubungan dengan seorang selebriti wanita sebagaimana yang hangat diperkatakan dalam media sosial.
Beliau berkata, segala cerita yang disensasikan itu termasuk penahanannya di sekatan jalan raya (SJR) Perasing adalah tidak benar dan berniat buruk untuk menjatuhkan reputasinya.
“Tindakan undang-undang akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati menulis, menyiarkan atau menyebarkan cerita palsu dan tidak benar,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook.
Sejak Rabu lalu, tular maklumat menerusi aplikasi WhatsApp berhubung penahanan Mohd. Khairuddin di SJR Perasing dan turut berada dalam kenderaan itu dikatakan seorang wanita iaitu Mawar.
No comments
Post a Comment