NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penerima manfaat lahirkan kelegaan, i-Citra bantu tampung pendapatan isi rumah terjejas


KUALA LUMPUR, 29 Jun -- Tiada yang lebih melegakan apabila inisiatif pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diteruskan demi kelangsungan hidup rata-rata rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19 yang belum menunjukkan tanda akan berakhir.

Walaupun simpanan itu adalah wang persaraan dan demi kegunaan masa depan, namun dengan pilihan yang terhad pada masa ini pastinya, ia merupakan antara penyelesaian bagi membantu menampung pendapatan yang hilang atau terjejas akibat ‘kekejaman’ virus tersebut.

Dikenali sebagai i-Citra bagi program yang kali ini dimasukkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), rata-rata penyimpan melahirkan kesyukuran dengan bantuan yang diberikan.


Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan program bantuan i-Citra iaitu kemudahan pengeluaran RM5,000 akaun KWSP bermula Ogos dengan kadar bayaran tetap RM1,000 setiap bulan selama lima bulan.

Ia merupakan kesinambungan daripada i-Lestari dan i-Sinar sebelum ini.

Haspaizi Mohd Zain, 38, seorang pekerja swasta berkata i-Citra merupakan pendekatan yang mampu menyelamatkan rakyat dalam situasi sukar dan ia merupakan satu kelegaan baginya.


“Ia juga mampu memberi kekuatan ekonomi kepada isi rumah dan secara tidak langsung menggerakkan ekonomi negara.

“Sudah pasti pengeluaran i-Citra boleh digunakan bagi menampung keperluan harian, pembayaran kereta rumah atau sebagainya. Kerana ramai dalam kalangan kita ada yang terjejas kehilangan pekerjaan dan gaji dipotong.

Bagi ibu tunggal Siti Ainiza Kamsari, 52 tahun, pengeluaran i-Lestari lebih banyak membantu dan berharap ia dilanjutkan.


“Namun, apabila ditukarkan kepada i-Citra ini, maknanya jumlahnya tidaknya seperti sebelum ini sebagaimana diterima dari I-Sinar.

“Namun dijangkakan dengan RM1,000 masih mencukupi untuk bertahan. Namun perbelanjaan isi rumah perlu dihadkan

“Sebagai ibu tunggal kepada enam orang anak, yang kesemuanya masih belajar, iaitu tiga di institusi pengajian tinggi dan tiga lagi di sekolah menengah, saya tetap sangat berterima kasih, Alhamdulillah,” katanya.

Katanya i-Citra kali ini akan digunakan untuk untuk membayar duit utiliti isi rumah dan perbelanjaan untuk anaknya masuk semester baharu pengajian di universiti.

“RM1,000 tersebut pasti tidak mencukupi. Tetapi tidak mengapa, kita akan terus berjimat dan bertahan” katanya.

Seorang lagi penerima manfaat Roslan Rusly, 37, seorang pegawai perhubungan awam berkata beliau menggunakan wang pengeluaran untuk kecemasan membayar keperluan yang sangat mendesak.

“Lagipun duit tersebut bukan boleh bawak keluar sesuka hati dan ia perlu memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan oleh KWSP

“Kelonggaran yang diberikan ini boleh dimanfaatkan pada mereka yang terkesan dan boleh dijadikan simpanan kecemasan. Apa-apa jadi ada tunai dalam tangan,” katanya.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo