NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pelajaran kemiskinan pandemik.



1. Benar kata pepatah, ‘Sekali ombak menghempas, sekali pantai berubah’. Itulah realiti yang menghempas wajah kemiskinan, ombaknya pasang surut tetapi kesannya sangat ketara.

2. Kemiskinan mempunyai pelbagai wajah dan dimensi. Ada wajah yang kelihatan, ada wajah yang tidak kelihatan, segalanya tersingkap di sebalik simpati dan realiti.

3. Melalui pemerhatian mata kasar, kesan ‘ombak’ pandemik terhadap kemiskinan adalah sangat membekas, merobah pesisiran sosial dan ekonomi negara, malah menghakis kesihatan mental dan kesejahteraan hidup rakyat jelata.

4. Persoalannya apakah yang kita pelajari daripada wajah kemiskinan ini, setelah Malaysia bertarung lebih setahun memerangi pandemik dan berkurung akibat PKP.

Sepuluh perkara yang dipelajari.

5. Secara ringkasnya, ‘normal baharu’ telah mewujudkan kelompok ‘miskin baharu’ di bandar mahupun luar bandar. Pengangguran telah mencapai tahap tertinggi. Hutang isi rumah menghampiri jurang insolvensi.

6. Kes jenayah dan kecurian kecil (petty theft) meningkat. Insiden kemurungan dan keganasan rumah tangga dilaporkan turut meningkat. Jurang digital khususnya dalam kalangan B40 pula semakin melebar.

7. Selain itu kita menyaksikan impak positif daripada kepantasan NGO, kejiranan dan ‘netizen’ menghulurkan bantuan ‘automatik’, di samping sinergi di pihak kerajaan, swasta, dan Baitulmal dalam menyalurkan kebajikan secara lebih sistematik.

8. Kemudahan kewangan yang bersifat akomodatif merupakan ‘talian hayat’ yang sangat diperlukan, manakala pakej rangsangan ekonomi merupakan ‘suntikan’ untuk memulihkan dayatahan negara dalam tempoh kritikal ini.

9. Namun perlu diingatkan, ‘Lockdown is not the same for everyone’.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

10. Terlalu banyak punca pendapatan dan pekerjaan telah hilang, dan bakal hilang akibat pandemik dan PKP, bahkan tiada jaminan untuk pulih sepenuhnya.

11. Ramai yang susah, ramai yang sakit, malah ramai yang jatuh miskin sekelip mata (miskin baharu) akibat hilang punca pendapatan, dibuang kerja, tiada simpanan kecemasan, hutang tertunggak, atau ketiadaan ketua keluarga.

12. Kebanyakan mereka, saudara dan jiran kita, tersisih dari pandangan dan sangat memerlukan bantuan – fizikal, mental dan spiritual – untuk bertahan, seterusnya berupaya untuk bangkit dan berdikari semula.

13. Tatkala kita mengetahui bahawa jangkitan virus lebih berisiko kepada mereka yang berpenyakit kronik, begitulah juga impak pandemik terhadap mereka yang berstatus miskin. Jelas di hadapan kita, mereka yang lemah akan bertambah lemah, dan yang miskin akan bertambah miskin.

14. Tatkala kita mengetahui bahawa rantaian virus perlu diputuskan, begitulah juga impak ‘rangkaian’ korupsi, birokrasi dan diskriminasi perlu segera diputuskan, supaya belenggu kemiskinan ‘struktural’ ini dapat dirobohkan.

Cahaya di hujung terowong.

15. Dalam hal ini, Malaysia mesti bersedia untuk melakukan ‘total reset’ bagi mewujudkan kelestarian ekonomi bertunjangkan keadilan sosial yang lebih saksama.

16. Pasca pandemik, tumpuan perlu diberikan untuk menjana peluang pekerjaan dan memangkin dayatahan perniagaan, khususnya industri kecil dan sederhana (IKS), serta usahawan wanita dan belia.


17. Digitalisasi adalah peluang baharu yang perlu dirancakkan, merentasi spektrum bandar dan luar bandar. Daya keusahawanan pula adalah ‘next wealth’ yang perlu disiram dan dibaja.

18. Dalam jangka panjang, penyusunan semula struktur ekonomi adalah jalan baharu yang perlu diteroka. Isu kemiskinan, integriti, jaringan sosial, sekuriti makanan, kelestarian alam, dan disiplin fiskal adalah permasalahan legasi yang perlukan penyelesaian berani dan mampan.

19. Terpenting adalah perilaku simpati, solidariti, semangat kejiranan dan kekitaan yang tinggi dalam kalangan warga Malaysia yang prihatin.

20. Sikap proaktif dan berlumba membuat kebajikan adalah cahaya yang akan terus memberikan sinar kepada wajah kemiskinan, dan selayaknya menjadi asas permuafakatan yang perlu dipelihara.

21. Inilah ‘next normal’ yang perlu dibudayakan di Malaysia, bertunjangkan sifat prihatin, bersatu padu, saling bekerjasama, dan bermuafakat demi kemakmuran bersama.

Syahir Sulaiman
Setiausaha Politik Presiden PAS
9 Jun 2021

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo