NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MB Kedah tidak pandu uji, beli kereta ketika 'total lockdown'

ALOR SETAR - Dakwaan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, Bukit Mertajam, pada Sabtu adalah tidak benar.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Muhammad Sanusi dalam perjalanan ke Kuala Lumpur atas urusan mustahak dengan pergerakan rentas daerah ataupun negeri dibenarkan dalam prosedur operasi standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh.

Afnan Hamimi menjelaskan, menteri besar kemudiannya singgah untuk membeli bekalan makanan di Juru sebelum masuk ke lebuh raya berikutan kawasan rehat dan rawat (R&R) ditutup.

"Kebetulan kedai tempat membeli makanan di Juru itu berhampiran dengan pusat jualan dan pameran kenderaan bagaimanapun premis berkenaan tidak beroperasi.

"Ada seorang jurujual sedang menyusun kereta Ford Ranger di luar pusat jualan dan pameran kenderaan berkenaan manakala Muhammad Sanusi hanya pergi melihat kenderaan berkenaan kerana minat dan bukannya untuk membeli," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Afnan Hamimi berkata, Muhammad Sanusi tidak memandu uji kereta terbabit, sebaliknya terus menyambung perjalanannya ke Kuala Lumpur selepas selesai membeli makanan.

Tambah beliau, kenderaan jenis Vellfire yang dinaiki Muhammad Sanusi merupakan milik Syarikat Air Darul Aman (Sada) kerana beliau juga merupakan Pengerusi Sada.

"Tiada masalah untuk mengguna kereta itu bagi urusan rasmi manakala tulisan perkataan 'Menteri Besar Kedah' pada kereta itu bertujuan memudahkan pengecaman pihak polis ketika melalui Sekatan Jalan Raya (SJR)," jelasnya.

Pada Sabtu, seorang pengguna laman sosial Facebook mendakwa dia dan suaminya melihat Menteri Besar Kedah berada di pusat jualan kereta dan memandu uji sebuah kenderaan kira-kira jam 6.30 petang di Juru di media sosial.

Wanita itu mendakwa Muhammad Sanusi melanggar SOP termasuklah menaiki kenderaan dengan tiga penumpang, memandu uji sebuah kenderaan jenis Ford Raptor berwarna biru dan datang membeli kereta dari Kedah sampai ke Pulau Pinang ketika tempoh sekatan pergerakan penuh.

Dia yang tidak berpuas hati kerana mendakwa melihat beberapa individu memandu uji kereta menegur jurujual dan menyoal sama ada pusat jualan dan pameran kenderaan dibuka ketika sekatan pergerakan penuh.

Begitupun, wanita berkenaan didapati memadamkan hantaran di laman sosial Facebook selepas dakwaannya itu menjadi tular.

Dalam pada itu, polis memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, Bukit Mertajam pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihaknya akan memanggil semua pihak terlibat termasuklah menteri besar berhubung perkara itu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo