NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kenapa gender ketiga tidak boleh diiktiraf






Oleh Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli

DALAM mengharungi kemelut dan kekalutan dengan pandemik COVID-19, kita digemparkan dengan usaha pihak tertentu yang ibaratnya umpama menangguk di air keruh dengan mengambil kesempatan untuk berwacana tentang pengiktirafan gender ketiga.

Sedangkan fokus pada masa ini, mata dan fikiran kita sedang tertumpu kepada isu-isu berkaitan pandemik seperti kesihatan mental, keterbatasan PDPR, kesuraman ekonomi dan penderaan rumahtangga.

Perjuangan untuk mengiktiraf gender ketiga bukanlah idea yang baharu dikemukakan. Ini kerana ia adalah rentetan daripada perjuangan kebebasan untuk menuntut hak kesamarataan bagi kelompok LGBT dan kumpulan yang bernaung di bawahnya. Semakin hari, kumpulan-kumpulan yang bernaung dibawah identiti gender ketiga semakin bertambah.

Dalam laman sosial Facebook umpamanya, identiti gender telah bertambah menjadi hampir 60 kelompok. Ia tidak lagi sekadar golongan lelaki dan wanita, transgender dan transeksual, malah berkembang kepada istilah agender, cisgender, neutrois, pangender dan lain-lain.

Spektrum gender yang bersifat bukan binari (non-binary) ini sentiasa berkembang dan boleh berubah sepanjang masa dan mempunyai variasi yang luas. Kelompok yang berkembang dari semasa ke semasa ini akan termasuk dalam kumpulan gender ketiga.


Kebanyakan negara Barat telah mengambil langkah mengiktiraf kumpulan ini atas nama hak asasi manusia dan negara-negara lain dipaksa untuk mengiktiraf kewujudan gender ketiga walaupun bertentang dengan nilai agama dan norma budaya.

Pada dasarnya, terdapat perbezaan di antara jantina atau biologi, identiti gender, ekspresi gender dan orientasi seksual. Seks adalah aspek biologi dan merujuk kepada jantina seseorang ketika dilahirkan dengan organ seksual lelaki atau wanita.

Identiti gender adalah bagaimana perasaan dalaman seseorang sama ada sebagai seorang lelaki, wanita atau transgender. Ekspresi gender adalah bagaimana diri seseorang ditampilkan sama ada maskulin, non-binari atau feminin.

Manakala orientasi seksual adalah kecenderungan seks seseorang sama ada tertarik kepada lelaki, wanita, biseksual dan aseksual. Ekspresi gender seseorang tidak semestinya selari dengan identiti gender dan orientasi gender mereka. Jadi kelompok ketiga ini lahir dari identiti yang beragam.

Usaha pengiktirafan gender ketiga ini pada akhirnya mendorong sebahagian dari kelompok ini terjebak dengan perkara yang dilarang Syarak seperti pembedahan penukaran jantina, aktiviti seks sejenis dan seumpamanya.

Ironinya, kemajuan material yang dicapai kini (IR4.0) tidak mampu mengangkat martabat manusia ke kedudukan yang lebih baik, sebaliknya bakal memusnahkan tamadun dan peradaban manusia.

Dalam pensejarahan manusia yang panjang, tiada agama samawi atau budaya yang mengiktiraf mereka yang tidak jelas gender ini sebagai kelompok ketiga. Bahkan dalam sejarah umat terdahulu, kaum Nabi Allah Luth telah dimusnahkan dengan dahsyatnya akibat melakukan perbuatan menyimpang.

Malah banyak hadis Nabi yang memaparkan adanya gejala ini pada zaman baginda, tetapi tiada satu pun hadis Nabi yang mengiktiraf mereka sebagai gender ketiga, bahkan baginda menjatuhkan hukuman pengasingan atau buang daerah sebagai langkah pencegahan penularan gejala tersebut.

Ulama juga menggariskan hukuman yang berat bagi pelaku jenayah seks sejenis. Jenis hukumannya dari hukuman sebat hinggalah dibunuh kerana ia termasuk dalam kategori jenayah berat.

Namun, berlainan dalam isu berkaitan dengan khuntha. Ini kerana ia adalah bawaan sejak lahir, bukan terhasil dari faktor yang tidak jelas.

Para ulama membahagikan kuntha kepada dua kategori, iaitu pertama, khuntha yang jelas (wadih), iaitu seseorang yang mempunyai dua alat kelamin atau tanpa kedua-duanya tetapi jelas jantinanya sama ada dia lelaki atau perempuan. Jika jelas anggota seksual dan lebih dominan sebagai lelaki, maka dia dihukumkan sebagai lelaki dan begitu juga sebaliknya.

Manakala kedua, khuntha yang musykil iaitu seseorang yang tidak jelas jantinanya sama ada lelaki atau perempuan disebabkan anggota seks primer atau sekunder yang tidak jelas atau mempunyai tanda-tanda yang bertentangan. Termasuk juga dalam kategori ini seseorang yang tidak mempunyai kedua-dua alat kelamin.

Dalam kategori ini, ulama membenarkan pembedahan penugasan semula seks selari dengan penentuan jantinanya dengan pemantauan pakar yang adil. Umpamanya bagi mereka yang menghidapi Congenital Adrenal Hyperplasia (CAH) dan Testicular Feminization Syndrome (TFS).

Dalam keadaan ini, pembedahan diharuskan dan ia tidak termasuk dalam perubahan yang dilarang Syarak.

Sebaliknya dalam pembedahan penugasan semula seks bagi transgender dari lelaki ke perempuan atau perempuan ke lelaki atau di luar kategori tersebut adalah jelas dilarang kerana ia termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah. Alasan terperangkap dalam tubuh lelaki dan wanita tidak menjadi hujah yang kukuh kepada perubahan fizikal.

Tegasnya, dalam Islam tiada istilah gender ketiga. Yang ada hanyalah golongan lelaki, wanita dan khuntha yang kemudiannya akan ditentukan status kelaminnya sama ada lelaki atau wanita. Kelainan secara biologi itu tidak diambilkira sebagai kelompok ketiga, apatah lagi kelainan secara psikologi atau konstruksi sosial dalam kalangan transgender.

Jika asalnya seseorang itu adalah seorang lelaki, status jantinanya akan kembali kepada lelaki dan jika dia seorang wanita, status jantinanya akan kembali kepada asal wanita walaupun pembedahan telah dilakukan. Hal ini kerana status jantina sama ada lelaki, wanita atau khuntha akan melibatkan implikasi dari aspek hukum syarak berkaitan batasan aurat, perkahwinan, perwarisan, peribadatan, hukuman jenayah dan pengurusan jenazah.

Justeru, sekiranya manusia melakukan perkara menyalahi tuntutan agama dan norma budaya setempat, apakah agama dan budaya perlu dirubah walaupun perbuatan itu termasuk dalam kategori perilaku menyimpang dan jenayah? Jawapannya adalah tidak.

Kepincangan dan penyimpangan golongan gender ketiga perlu diperbaiki selari dengan tuntutan agama Islam, bukannya merubah ketetapan agama sesuai dengan selera mereka atau selari dengan nilai hak asasi masyarakat Barat. Keburukannya jelas banyak kerana akan menyebabkan halalnya perkahwinan sejenis, perlakuan seks sejenis, penipuan jantina dan dapat meruntuhkan institusi keluarga di samping melanggar aturan Allah SWT.

Dengan itu, kepada kelompok yang terperangkap dalam gender ketiga yang beragama Islam, kembalilah kepada fitrah dan asal penciptaan kerana Allah SWT telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Kita diberikan akal untuk berfikir nilai yang baik dan buruk dan kita punya panduan syariat yang jelas. Apa yang pasti, kehidupan di dunia ini adalah sementara dan kita akan kembali menemui Sang pencipta dalam bentuk tubuh badan yang asal atau diubah.

– BebasNews

* Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Emel: mohdanuar@um.edu.my

https://bebasnews.my/?p=63691&

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo