Saya mewakili Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang kini masih dirawat di IJN untuk menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebentar tadi.
Perbincangan berlangsung hampir satu jam berkisar perkembangan isu COVID-19, darurat dan persidangan Parlimen.
Tuanku sangat terbuka dan mesra berbincang, namun baginda serius apabila menitahkan hal-hal yang berkaitan kes-kes COVID-19 yang sedang berlaku.
PAS merupakan sebahagian daripada komponen Kerajaan akan terus mendukung pendirian yang diambil untuk menangani pandemik COVID-19 yang melanda negara hari ini.
PAS juga telah mengarahkan seluruh jentera parti untuk terus memobilisasi usaha membantu petugas barisan hadapan dalam semua inisiatif di bawah program vaksinasi kebangsaan seperti melancarkan kempen dan bertindak sebagai pemudah cara untuk membantu golongan-golongan yang memerlukan.
Mewakili PAS, saya menjunjung kasih atas perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap dan mempersembah maklum pendirian parti.
Sekian, terima kasih.
No comments
Post a Comment