NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jajaran politik PH-Umno perlu wujud demi agenda lebih besar, kata pemimpin DAP




PETALING JAYA: Seorang pemimpin DAP berkata, penjajaran baharu politik antara Pakatan Harapan (PH) dengan Ahli Parlimen parti lain, termasuk Ummo, perlu wujud demi agenda lebih besar, iaitu menyelamatkan negara daripada pemerintahan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

Ronnie Liu, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek berkata, kegagalan Muhyiddin mentadbir menjadi faktor baharu mengapa PH seharusnya bekerjasama dengan Ahli Parlimen parti lain, termasuk Umno.

“Ini kerana kalau PH berpegang kepada prinsip tidak mahu bekerjasama dengan sesiapa, kita bimbang Muhyiddin akan terus memerintah kerana tiada tekanan walaupun terbukti telah gagal.

“Kalau dibiarkan beliau terus memerintah, ia akan membawa kepada keadaan lebih teruk. Muhyiddin sekarang berdepan tiga krisis – pertama, kestabilan politik; kedua, wabak Covid-19; dan ketiga, ekonomi,” katanya kepada FMT.

Liu mengakui kerjasama PH dan Umno bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan kerana bukan semua pemimpin dan penyokong peringkat akar umbi boleh menerimanya memandangkan wujud sejarah permusuhan politik yang begitu lama.

“Saya sedar ada pemimpin dan ahli dalam PH tidak senang dengan kerjasama dengan Umno kerana bimbang Umno tidak boleh dipercayai, ada rekod rasuah dan sebagainya.

“Tetapi di pihak Umno juga ada pemimpin dan ahli tidak suka dengan PH, terutamanya DAP yang kononnya anti Melayu dan anti Islam seperti yang dimomokkan sebelum ini,” katanya.


Namun katanya, jika PN dibiarkan terus memerintah, keadaan akan menjadi lebih buruk berbanding zaman PH dan Barisan Nasional (BN).

“Jadi dua-dua (belah) penyokong perlu berlapang dada dan melihat isu lebih besar (iaitu) menyelamatkan negara berbanding melihat perseteruan silam antara Umno dan PH. Orang DAP, Amanah, PKR, Umno kena ketepikan perasaan atau apa yang berlaku pada masa lampau.

“Dulu kita pernah kerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad (dan) berjaya jatuhkan Najib Razak, sekarang apa salahnya kita bersama-sama menjatuhkan kerajaan Muhyididin sebab sudah gagal?”

Bagaimanapun katanya, kerjasama dengan Mahathir tidak lagi perlu dipertahankan kerana kredibiliti dan kewibawaannya sebagai tokoh politik sudah hilang.

Ditanya sama ada kerjasama PH-Umno akan bertahan lama atau menerima nasib yang sama seperti kerjasama dengan Mahathir yang hanya bertahan 22 bulan, Liu berkata, pakatan itu boleh bertahan lama jika kedua-dua pihak boleh mengetepikan ego dan mengelak daripada membandingkan siapakah yang lebih bagus atau “suci”.

“PH, Umno kalau nak kerjasama, sikap itu kena buang, kena saling hormat menghormati. Tetapi kalau sebelum kerjasama sudah sangsi, sudah ada persepsi negatif, ini akan menghalang kerjasama,” katanya.

Berkenaan persepsi negatif yang mungkin dihadapi PH apabila bekerjasama dengan pemimpin Umno yang terpalit dengan kes mahkamah, Liu mengingatkan ada juga pemimpin PH yang berada dalam situasi sama.

Beliau menegaskan, seseorang individu tidak boleh dihukum bersalah selagi tidak dibuktikan di mahkamah.

“Dalam politik, musuh menggunakan mahkamah itu perkara biasa walaupun ia tidak sihat,” katanya.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim mendedahkan seorang Ahli Parlimen Umno mengaku menandatangani dokumen sokongan untuk Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri dalam penjajaran baharu politik tanah air.

Katanya, Ahli Parlimen itu memaklumkan kepadanya bahawa beliau menandatangani dokumen sokongan itu pada 7 Jun lalu di hadapan Anwar dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi serta seorang “kenamaan”.

Isu penjajaran baharu politik antara PH dengan Umno bukan perkara yang baharu dibangkitkan.

Gerakan itu dikatakan wujud sejak tahun lalu apabila Anwar mendedahkan dirinya mempunyai sokongan mencukupi daripada wakil rakyat untuk membentuk kerajaan baharu walaupun seorang demi seorang wakil rakyat Umno menafikannya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo