NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sindiket dadah didalangi Datin kosmetik tumpas



Polis Kelantan berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang berselindung di sebalik perniagaan kosmetik milik seorang wanita bergelar Datin.

Dalam serbuan di lima lokasi berasingan sejak kelmarin hingga semalam, pihak polis berjaya merampas dadah bernilai RM2.34 juta membabitkan 180,000 biji pil yaba dan 14.9 kilogram (kg) dadah jenis syabu.

Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat berkata, serbuan dibuat di daerah Kota Bharu, Tanah Merah dan Pasir Mas itu berjaya menahan 11 individu berusia 23 hingga 48 tahun.

Mereka terdiri daripada tujuh lelaki dan empat wanita warga Thailand termasuk usahawan kosmetik tersebut.

Menurutnya, sindiket dadah yang dikenali sebagai ‘sindiket datin’ itu berjaya ditumpaskan hasil risikan dan intipan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan sejak beberapa minggu lalu.

Shafien berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan didalangi seorang wanita warga Thailand bergelar Datin berusia 48 tahun.

"Pada 4.30 petang kelmarin, pihak polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Kota Bharu dan merampas dua botol plastik mengandungi cecair kehitaman disyaki kodein dan 180,000 biji pil kuda.

"Susulan tangkapan itu, polis menahan dua lagi lelaki pada jam 4 petang semalam dalam sebuah kereta di Kampung Kedai Mulong dan merampas 17 bungkusan mengandungi syabu seberat 14.9 kg.

"Seterusnya, pada hari yang sama polis menahan lapan individu iaitu empat lelaki tempatan dan empat wanita warga Thailand termasuk seorang Datin di tiga daerah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Katanya, kesemua suspek direman selama seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kejayaan tangkapan ini susulan tangkapan terdahulu dan kita percaya sindiket ini bergerak aktif sejak beberapa bulan lalu. Bekalan dadah terbabit diperoleh dari Thailand untuk pasaran negeri Pantai Timur termasuk Terengganu dan Pahang.

"Selain rampasan dadah, kita turut menyita enam kereta, dua motosikal, barang kemas serta wang tunai bernilai lebih RM300,000," katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis Kelantan turut menumpaskan satu sindiket dikenali sebagai ‘sindiket Mat Yo’ dan merampas dadah jenis pil yaba sebanyak 462,000 biji bernilai RM4.62 juta.

Shafien berkata, serbuan pada Rabu dan Khamis lalu itu membabitkan penahanan dua lelaki berusia 32 dan 43 tahun di dua lokasi iaitu Kota Bharu dan Tanah Merah.

"Serbuan pertama pada Rabu lalu di sebuah apartment di Jalan Sri Cemerlang menahan seorang lelaki berusia 32 tahun dan rampas 14 bungkusan mengandungi 84,000 biji pil yaba.

"Serbuan kedua pula menahan seorang lagi lelaki di Tanah Merah dan merampas 10 bungkusan mengandungi 378,000 biji pil yaba. Pil berkenaan disembunyikan dalam tiga tong hitam yang ditanam di kawasan rumah.

"Polis turut menyita kereta, motosikal dan wang tunai bernilai RM65,000 dan suspek direman seminggu," jelasnya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo