PETALING JAYA: Walaupun menghadapi masalah teknikal pada mulanya, semua 268,000 slot vaksin AstraZeneca bagi penduduk Kuala Lumpur dan Selangor habis ditempah dalam tempoh tiga jam 20 minit hari ini.
“Semua slot AstraZeneca habis ditempah. Maaf atas gangguan pada permulaan,” kata Khairy Jamaluddin, menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dalam catatan di Twitter.
Katanya, orang ramai masih boleh mendaftar untuk senarai menunggu dalam beberapa jam lagi, dan janji temu akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera atau sistem pesanan ringkas (SMS) tidak lama lagi.
Khairy berkata, sejuta lagi dos vaksin AstraZeneca dijangka tiba dalam bulan ini menerusi fasiliti Covax, dan pendaftaran akan diperluas ke negeri lain, kecuali Sarawak, yang menolaknya.
Mengulas respons terhadap vaksin itu, Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Dr Jemilah Mahmood menerusi Twitter berkata, tempahan “sangat menggalakkan”.
Bekas timbalan ketua pengarah kesihatan, Dr Christopher Lee pula berkata, walaupun timbul kebimbangan, program vaksin AstraZeneca secara sukarela menunjukkan vaksinasi Covid-19 “diterima baik” di negara ini.
Tempahan dalam talian bagi vaksin ini yang bermula tengah hari tadi pada awalnya mengalami gangguan dan masalah teknikal kerana http://vaksincovid.gov.my menerima ramai pengunjung di laman web itu.
Di platform media sosial seperti Twitter, ramai yang mendakwa laman pendaftaran dibuka lebih awal daripada dijadualkan, namun Khairy menjelaskan tempahan sebelum 12 tengah hari hanya bagi tujuan “pemeringkatan dan pengujian”.
Khairy berkata, hanya tempahan selepas 12 tengah hari akan direkodkan.
Ini mendapat kritikan netizen yang berkata, langkah itu akan menimbulkan kekeliruan kepada individu yang menganggap mereka berjaya mendaftar untuk mendapatkan vaksin itu.
Sementara itu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyeru siasatan dijalankan ke atas punca gangguan itu.
“Ini mencerminkan perancangan dan pelaksanaan yang lemah, dan rakyat tidak boleh menerimanya,” kata Presidennya, N Marimuthu.
Vaksin AstraZeneca, buat masa ini, hanya diberikan kepada penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur, berusia 18 tahun dan ke atas secara sukarela.
Keputusan tu susulan kebimbangan orang ramai berhubung penggunaan vaksin AstraZeneca di bawah fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akibat beberapa kes terpencil trombosis (pembekuan darah) dalam kalangan penerima di negara Eropah.
No comments
Post a Comment