SUDAH 20 hari, kita menjalani ibadah pada bulan penuh istimewa Ramadan. Begitu pantas masa berlalu. Kini, kita memasuki 10 malam terakhir, yang antaranya akan muncul malam kemuliaan yang lebih baik daripada 1,000 bulan.
Apakah persediaan kita menghadapi 10 malam terakhir ini? Adakah semakin lentur ibadah kita kerana asyik memikirkan bagaimana mahu merentas negeri pada hari raya, membuat persiapan Aidilfitri dan sebagainya?
Mungkin bagi kebanyakan orang, Covid-19 sedikit sebanyak mengurangkan keghairahan untuk berhari raya sebaliknya memberi fokus untuk memanfaatkan malam-malam terakhir ini.
Syukurlah Ramadan tahun Ini ketika Covid-19 terus menggila, masih ada ruang yang lebih baik untuk kita beribadah. Walaupun tidak semua masjid dan surau ‘bebas’ tetapi sekurang-kurangnya masjid dan surau dapat diimarahkan.
Berbanding tahun lalu masjid dan surau tinggal sepi, tahun ini dihidupkan kembali dengan tarawih, witir, iftar, tazkirah, qiamullail dan sebagainya. Sudah 20 hari masjid dan surau dihidupkan kecuali di kawasan tertentu.
Selama 20 hari kita melalui Ramadan dengan solat berjemaah di masjid dan surau, kemudiannya bertarawih bersama. Berbaki 10 hari ini, sebelum masjid dan surau ditutup semula, ambillah peluang yang masih ada ini.
Manfaatkan malam-malam ganjil bermula 21, 23, 25, 27, 29 dengan menggandakan ibadah kita. Kesungguhan kita harus berbeza dengan malam-malam lain.
Sabda Rasulullah SAW : “Carilah kalian Lailatulqadar itu pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan,” – Riwayat al-Bukhari (2017)
Namun sambil beribadah jangan mengabaikan kelonggaran yang diberi. Patuhi prosedur operasi standard (SOP). Kawal diri sendiri sama ada anda boleh berada bersama jemaah di surau atau masjid. Begitu juga di bazar Ramadan atau Aidilfitri.
Jangan menjadi seperti seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit.
Ingatlah di sebalik menyerahkan kepada ketentuan Ilahi, ikhtiar kita amat penting untuk menjaga diri kita dan orang lain.
Sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) siri ketiga akan kembali atau tidak, jangan rencatkan amalan kita dalam memburu Lailatulqadar.
Andai surau dan masjid ditutup kerana PKP, masih ada ruang untuk melakukan pecutan dalam tempoh yang berbaki ini. Pecutlah untuk mengejar ganjaran pahala yang ditawarkan.
Selesaikan saki baki Ramadan ini dengan khatam al-Quran. Jika sudah khatam Alhamdulillah. Jika belum pecutlah secara berhemah supaya ‘sampai destinasi dengan selamat’.
Setiap orang berhak melakukan pecutan ini. Tidak perlu surat kebenaran seperti mahu merentas negeri. Mungkin kita dihalang ke masjid dan surau tetapi ibadah kita tidak akan terhalang.
Andai PKP yang datang, anggap ia sebagai hikmah untuk lebih fokus menghidupkan 10 malam terakhir. Walaupun tidak dapat beriktikaf di masjid, lakukan di rumah. Kita sudah ada pengalaman ini pada tahun lepas.
Setiap malam 10 malam terakhir ini ibarat peluang membuat pelaburan yang hasilnya tetap terjamin, bukan sekadar dividen atau bonus.
Justeru hidupkan malam-malam terakhir ini dengan menggandakan amalan seperti solat sunat, tarawih, witir, solat taubat, tahajud, istigfar, selawat, membaca al Quran atau surah pilihan seperti al-Mulk, al-Waqiah, sedekah dan infak serta zikir.
Ketika ini sedekah dan infak amat mudah. Setiap malam kita boleh menyumbang tanpa perlu ke masjid atau surau atau mencari orang yang memerlukan kerana melalui atas talian, ada sahaja peluang untuk infak.
Ingatlah andai kita tidak ‘diketemukan’ dengan Lailatulqadar, sekurang-kurangnya dengan pengisian aktiviti ibadah itu ganjarannya pasti ada kerana kita sudah beramal pada malam-malam berkenaan.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang beribadah pada Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan kepada keredaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau.” (Riwayat Muslim)
Ayuh rebutlah peluang keemasan yang disediakan Allah SWT. Carilah, rebutlah dan manfaatkan 10 malam terakhir ini sebaiknya supaya tidak menyesal di kemudian hari, apatah lagi belum pasti kita berpeluang bertemu Ramadan tahun hadapan.
Berpeganglah kepada janji Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud : “Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan,” (al-Qadr (3)).
-BebasNews
No comments
Post a Comment