KOTA KINABALU: Spekulasi Parti Bersatu Sabah (PBS) akan bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi membentuk kerajaan bukan isu yang baru.
Malah spekulasi ini sudah timbul selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu apabila ramai mengatakan PBS akan menyertai Warisan membentuk kerajaan baharu.
Namun, kesetiaan PBS dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak perlu diragui.
Naib Presiden PBS, Datuk Johnny Mositun berkata, PBS akan terus bekerjasama dengan GRS demi pembangunan negeri dan rakyat Sabah.
“PBS kekal dengan pendirian akan bersama GRS untuk bekerjasama sebagai sebuah parti komponen untuk membangunkan Sabah.
“Dalam politik, orang boleh bercakap apa sahaja tapi kami akan sentiasa berdiri teguh di belakang Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, biarpun ada perselisihan faham antara pemimpin parti dalam GRS namun, itu bukan bermakna mereka harus merosakkan hubungan kerjasama dalam kepimpinan GRS.
Katanya, setiap orang mempunyai peranan dalam GRS dan akan menghulurkan bantuan apabila diperlukan.
Pada Ahad, Setiausaha Agung PBS, Datuk Joniston Bangkaui menafikan dakwaan bahawa parti itu akan bekerjasama dengan Warisan bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Katanya, dakwaan itu tidak benar dan sengaja diputar belit oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Khabar angin pertukaran kerajaan itu timbul susulan kesediaan Presiden PBS untuk bekerjasama dengan Warisan untuk membangunkan Sabah.
Pada 11 Mei lalu, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyatakan partinya bersedia bekerjasama dengan PBS yang merupakan parti tempatan dan mempunyai sentimen perjuangan yang sama.- UTUSAN ONLINE
No comments
Post a Comment