KEANGKUHAN rejim Israel berulang kembali pada malam 26 Ramadan di Palestin. Rejim perampas tanah berdaulat Palestin kali ini menafikan hak umat Islam beribadah di Masjid al-Aqsa.
Menjajah secara tidak sah melalui penipuan, penyelewengan dan penindasan, negara haram Israel cuba menunjukkan kuasa dengan menafikan hak umat Islam Palestin beribadah.
Ketegangan di Baitulmaqdis semakin memuncak sejak beberapa minggu lalu, berikutan rakyat Palestin memprotes larangan dikenakan Israel, selain pihak berkuasa mengarahkan beberapa keluarga Palestin meninggalkan rumah untuk kepentingan penduduk Israel.
Terkini, 178 rakyat Palestin dilaporkan cedera akibat keganasan tentera Israel menyerang umat Islam ketika sedang solat tarawih di Masjid al-Aqsa.
Tindakan Zionis ini jelas menunjukkan jenayah perang mereka secara terang-terangan, namun dunia seolah memejamkan mata termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Hipokrasi dan berat sebelah ini sudah lama diketahui dan tiada apa boleh diharapkan melainkan umat Islam sendiri bangun bersama bersolidariti.
Isu berlarutan puluhan tahun ini dilihat seolah-olah tiada penghujungnya. Namun, umat Islam belum sedar kekuatan mereka, iaitu melalui tindakan kebersamaan membabitkan solidariti umat Islam seluruh dunia.
Dengan kekuatan mencecah 1.9 bilion dan agama kedua paling ramai penganut di dunia, pastinya tindakan bersifat solidariti akan memberikan impak kepada Israel, sekutunya dan dunia.
Strategi utama boleh dilaksanakan segera membabitkan tiga aspek, iaitu ekonomi, media sosial dan kebajikan, sekali gus perlu digerakkan segera.
Pertama, kekuatan ekonomi umat Islam mampu memberikan kesan kepada ekonomi dunia, khususnya Israel. Kempen boikot produk Israel dan sekutunya perlu digerakkan semula besar-besaran.
Diakui, kempen sebegini bersifat bermusim, namun sekiranya digerakkan secara strategik dan menyeluruh, pastinya memberi kesan lebih kuat.
Kempen boikot boleh dirancang tiga kali setahun atau setiap empat bulan dengan memfokuskan produk tertentu. Dengan strategi bersasar, ia mampu melumpuhkan ekonomi konglomerat Israel dan menghapuskan penguasaan ekonomi mereka.
Kedua, kempen media sosial amat penting dan medium utama kepada penyampaian maklumat seluruh dunia. Walaupun media sosial utama dunia dikuasai Israel, dengan kekuatan solidariti umat Islam berjumlah 1.9 bilion, ia mampu menggegarkan dunia dan mendedahkan kezaliman Israel.
Terdapat usaha pihak Israel untuk memadamkan maklumat berkaitan Palestin daripada rangkaian media sosial dikuasai mereka, namun hasil strategi dan kreativiti umat Islam seluruh dunia, isu ini berjaya dibangkitkan di persada dunia.
Ia penting bagi memastikan seluruh masyarakat dunia mendapat maklumat telus dan tepat. Simpati dan kesedaran warga global akan memberikan tekanan hebat kepada Israel untuk menghentikan kezaliman dan penindasan terhadap penduduk Palestin.
Ketiga, solidariti kebajikan umat Islam perlu digerakkan sepenuhnya bagi membantu rakyat Palestin. Warga Palestin tidak 'memilih' untuk berada di sana, sebaliknya memikul tanggungjawab besar mewakili umat Islam mempertahankan al-Aqsa.
Di negara ini, terdapat puluhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempunyai hubungan langsung dengan umat Islam di Palestin. Sumbangkan walaupun dengan nilai RM1 kerana solidariti seluruh umat Islam akan mampu menaikkan jumlahnya menjadi RM1 bilion. Umat Islam di seluruh dunia diseru bersama-sama menyumbangkan dana membantu rakyat Palestin. Sekiranya kita menyalurkan bantuan kewangan, pasti Israel akan musnah akibat daripada kekuatan dan sokongan kewangan umat Islam. Negara Islam juga perlu menghulurkan bantuan kecemasan. Pada masa ini, bantuan kewangan dan perubatan amat mendesak dan perlu disalurkan segera.
Keangkuhan rejim Israel pastinya tidak akan kekal lama dan akan musnah akhirnya. Pada Ramadan ini, umat Islam mampu menggunakan 'senjata' doa.
Gunakan kesempatan malam terakhir untuk bermunajat kepada Allah SWT, mendoakan kesejahteraan umat Islam Palestin dan beroleh kekuatan serta memohon kepada Allah SWT untuk mengalahkan Israel dan sekutunya.
Umat Islam juga digalakkan membaca Qunut Nazilah dalam solat untuk memohon bantuan daripada Allah SWT agar memberikan kekuatan dan kemenangan kepada umat Islam di seluruh dunia.
Setiap kita perlu memainkan peranan membantu isu umat Islam Palestin dan Masjid al-Aqsa lerama ibarat pepatah Melayu, cubit paha kiri, paha kanan juga terasa.
**Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF), Universiti Teknologi MARA (UiTM)
No comments
Post a Comment