oleh Dr (Ms) Afizah Salleh dan Dr Aspalilah Alias
Kes jangkitan COVID 19 semakin meningkat hari demi hari. Walaupun pelbagai jenis SOP (PKP, PKPP, PKPB, PKPD) diperkenalkan, kes masih tidak berkurangan. Negeri Selangor sentiasa menjadi juara bilangan kes positif jika dibandingkan dengan negeri lain. Pusat kuarantin di MAEPS yang satu ketika telah ditutup, terpaksa dibuka semula. Kadar kemasukan bukannnya semakin berkurangan, tetapi mencecah seribu lebih setiap hari.
Pesakit COVID 19 kategori 4 dan 5 juga semakin meningkat. (Kategori 1- tiada gejala, Kategori 2 – ada gejala ringan , tiada jangkitan di paru-paru , Kategori 3 – jangkitan di paru-paru tetapi tidak perlukan oksigen , Kategori 4- jangkitan di paru-paru dan perlukan oksigen, Kategori 5 – rosak pelbagai organ dan perlukan bantuan pernafasan).
Advertisement
Kalau dahulu pesakit Kategori 4 dan 5 ini hanya berlaku kepada warga emas dan mereka yang banyak penyakit kronik, tetapi kini ia mula berlaku kepada orang-orang muda dan tiada penyakit. Lebih menakutkan lagi apabila ia dikaitkan dengan strain baru yang lebih merbahaya. Pesakit tiada sebarang gejala, swab yang dilakukan juga negatif tetapi pesakit terus datang dalam Kategori 4 atau 5 malam ada juga kes BID ( brought in dead )- datang hospital sudah tidak bernyawa.
Pesakit Kategori 5 sudah pastilah memerlukan bantuan pernafasan dan ditempatkan di ICU supaya mendapat penjagaan yang rapi supaya organ-organnya boleh di sokong dan dikembalikan kepada keadaan normal semula. Rawatan yang diperlukan termasuklah alat bantuan pernafasan, dialisis (cuci darah), ubat-ubatan yang diberi secara berkala dan pemantauan tanda vital. Ini semua memerlukan katil dan tempat yang khusus serta staf yang mencukupi termasuk jururawat dan doktor pakar rawatan rapi.
Sebelum jangkitan COVID melanda negara pun, jumlah ICU yang ada di negara kita bukanlah terlalu banyak. Ada juga masanya di mana, pesakit yang perlu bantuan pernafasan tidak dapat dimasukkan ke ICU kerana katil penuh, tidak boleh di hantar ke hospital lain kerana tidak stabil atau hospital lain juga penuh. Maka pesakit ini terpaksa diletakkan di wad dahulu sementara menunggu kekosongan katil di ICU. Harus diingat, penjagaan dan rawatan di luar ICU tidak seoptimum di dalam ICU, dan pesakit berhadapan dengan risiko.
Kini dengan peningkatan kes jangkitan COVID 19 yang memerlukan ICU, alat bantuan pernafasan telah ditambah dan banyak tempat telah diubah menjadi ICU untuk menampung peningkatan kes yang ada. Namun begitu ICU masih tidak cukup. Kita lihat contoh statistik di Negeri Selangor, juara kes positif covid 19 di Malaysia. Pada 18 Mei 2021, dilaporkan bahawa kadar penggunaan ICU di kebanyakan hospital di Lembah Klang adalah melebihi 80 %. Di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Kuala Lumpur kadar penggunaannya ICU juga hampir tepu (98-100%). Manakala Hospital Banting dan Hospital Kajang pula menunjukkan kadar permintaan yang melebihi katil yang ada (125 dan 267 %).
Ini bermakna ramai pesakit yang perlukan bantuan pernafasan terpaksa diletakkan di luar ICU/wad biasa dengan kemudahan terhad dan tidak mencukupi. Bila hal ini berlaku, doktor terpaksa memilih, kes manakah yang lebih layak untuk dimasukkan ke ICU iaitu yang mempunyai kadar kesembuhan lebih baik biasanya yang lebih muda dan tidak banyak penyakit kronik. Bagaimanakah perasaan kita jika yang ditolak itu adalah kaum keluarga kita?
Kemasukan ke ICU bukan hanya untuk pesakit covid 19. Pesakit -pesakit lain yang memerlukan bantuan pernafasan seperti pesakit yang terkena jangkitan kuman selain dari COVID 19, pesakit dengan jangkitan yang teruk di bahagian abdomen, mangsa kemalangan yang kritikal atau megalami kecederaan kepala dan pesakit strok atau pendarahan di kepala. Penyakit-penyakit seperti ini tidak akan berhenti berlaku walaupun dalam era COVID 19 dan memerlukan rawatan di ICU untuk meningkatkan kadar kesembuhan mereka. Apa pilihan yang doktor ada katil ICU tidak mencukupi?
Itu belum ditambah lagi dengan masalah staf. Ramai yang terlalu penat, terkena jangkitan COVID 19 dan masalah emosi yang menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan khidmat mereka. Bukanlah mudah untuk menggantikan staf ICU kerana apa yang mereka lakukan tidak sama dengan staf yang berada di wad biasa, Wad O&G ataupun klinik. Perlukan masa dan latihan yang mungkin sukar untuk dalam keadaan genting ini. Malah pakar rawatan rapi juga tidak mudah digantikan dengan pakar bius, pakar perubatan atau pakar pembedahan kerana skop tugas dan latihan yang berbeza. Siapa yang akan memastikan penjagaan rapi pesakit-pesakit ini?
Pertambahan katil ICU dengan menukarkan wad biasa dan ruang-ruang yang ada kepada wad covid juga mengganggu rawatan pesakit-pesakit lain. Ada pesakit yang sepatutnya menerima kimoterapi terpaksa ditangguhkan, pembedahan yang dijadualkan juga dianjakkan waktunya. Staf -staf yang sepatutnya bertugas merawat pesakit lain juga terpaksa ditarik untuk menjaga pesakit covid 19.Ini menunjukkan bahawa peningkatan kes jangkitan covid 19 memberi kesan kepada pesakit lain juga.
Sistem kesihatan kita semakin tepu. Janganlah sampai lumpuh baru kita nak sedarkan diri. Setiap individu yang ada di Malaysia tak kiralah golongan kayangan atau VVIP, artis, profesional atau rakyat biasa perlulah sedarkan diri sendiri. Sentiasa patuhi SOP yang telah diajar hampir 2 tahun lamanya.
Berhentilah menuding jari kepada orang lain tapi tidak menjaga diri dan keluarga sendiri. Walaupun ada yang telah mendapat vaksin COVID 19, tetapi itu bukanlah tiket untuk melanggar SOP. Para petugas barisan hadapan sudah penat dan tenaga mereka hampir kehabisan. Tidak ada gunanya jika hanya ada sebahagian yang menjaga sedangkan yang lain melanggarnya.
Kempen ‘ self lockdown ‘ yang diinisiatifkan oleh PAPISMA ( Persatuan Perubatan Ibnu Sina Malaysia) patut diambil serius oleh semua lapisan masyarakat dan diikuti dengan sebaiknya. Kurangkan keluar rumah kecuali untuk perkara penting, isi minyak kenderaan penuh, optimakan pembeliaan dalam talian, polisi zero tetamu, solat berjemaah bersama keluarga di rumah dan optimakan pembelian dalam talian. Mudah-mudahan dengan kita bersama-sama menjayakan kempen ini, kadar jangkitan dapat dikurang kan dan sistem kesihatan dapat dipulihkan.
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muadz bin Jabal R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W menyebutkan tentang lima perkara yang mana jika seseorang itu melakukan salah satunya maka dia berada di bawah jaminan perlindungan daripada Allah S.W.T. Antaranya :
Sabda Nabi Muhammad SAW daripada Riwayat Al-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir (55) yang bermaksud “Atau seseorang yang duduk di dalam rumahnya lalu manusia selamat darinya dan dia juga selamat dari manusia.”
Mereka yang menetap di dalam rumah dalam tempoh wabak berlaku dengan penuh kesabaran dan mengharapkan pahala, setelah mengambil semua usaha dan daya bagi menjaga keselamatan diri dan kemudiaannya meyakini bahawa tidak ada yang menimpa dirinya melainkan ia merupakan ketentuan Allah, maka dirinya akan mendapat pahala syahid sekalipun dia tidak mati disebabkan wabak tersebut.
Kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk kita sama sama teruskan berdoa serta menjaga SOP, self lockdown, duduk di rumah serta keluar jika ada keperluan mendesak sahaja. In shaa Allah moga Allah menyembuhkan penyakit ini daripada muka bumi ini. Wallahualam.
***Dr (Ms) Afizah Salleh adalah Pakar perunding Pembedahan Am di Hospital Pakar Annur dan
Dr Aspalilah Alias adalah Pensyarah Anatomi di Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
No comments
Post a Comment