3 MEI: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mendedahkan beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana dipaksa oleh para pendokongnya.
Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan beliau percaya para penyokongnya terutama ahli parti Pejuang tidak bersetuju dan akan marah jika beliau membuat keputusan tidak bertanding pada PRU-15 nanti.
“Saya tak nak bertanding, tapi orang saya susah kalau saya kata tak nak bertanding, ‘they get mad’ (marah). Saya tak tau nak buat apa.
“Saya terpaksa ikut orang yang sokong saya. Dari dulu pun bukan nak bertanding, tapi orang yang nak saya bertanding,” katanya dalam temu bual dengan Dialektika TV di Facebooknya hari ini.
Ditanya mengenai matlamatnya sekarang, Dr Mahathir berkata biarpun Pejuang adalah sebuah parti kecil namun matlamat penubuhan besar iaitu menghapuskan amalan rasuah yang sangat dibenci oleh rakyat.
“Waktu ini kita dapati Pejuang itu kecil. Perjuangan kita ini adalah perjuangan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, ramai orang tidak senang dengan amalan rasuah yang dikaitkan dengan kerajaan sekarang.
“Wakil rakyat boleh dibeli, kerajaan pun boleh dibeli. Ini sangat berbahaya. Ramai rakyat tak nak sokong mana-mana parti sebab tujuannya untuk diri sendiri.
“Pejuang bukan parti untuk ahlinya. Parti ini untuk kita menang dan dirikan kerajaan yang mahu menjalankan tugas membersihkan dan membangunkan negara, bukan diri sendiri,” katanya.
Parti itu tidak didaftarkan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM). Pada Januari JPPM menghantar surat menolak pendaftarannya.
Bulan lepas Setiausaha Agung Penaja Pejuang Amiruddin Hamzah memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk memaksa Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dan JPPM membuat keputusan berhubung permohonan rayuan pendaftaran parti itu.
Menteri dan JPPM dinamakan sebagai responden dalam tindakan undang-undang itu.
Sumber: http://www.pnbbcportal.com/2021/05/03/dr-mahathir-akan-bertanding-pru-15
Sumber: http://www.pnbbcportal.com/2021/05/03/dr-mahathir-akan-bertanding-pru-15
No comments
Post a Comment