NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Akibat sejarah yang telah dipadam.

Gambar sekadar hiasan. Sumber: https://www.thevocket.com/belajar-sendiri-perisian-kini-dapat-bangunkan-kota-melaka-3-dimensi-yang-menarik/

Kali pertama saya melihat replika Istana Kesultanan Melaka pada tahun 1986 saya amat kagum dengan kehebatannya. Istana tersebut dibina berdasarkan catatan Sejarah Melayu tentang senibina Melayu di zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah, Sultan Melaka ke 6 yang memerintah dari 1456 hingga 1477. Sebagai seorang pelajar yang mengikuti jurusan senibina ketika itu saya menyedari kewujudan bangunan-bangunan bersejarah yang berskala besar di negara kita tetapi kebanyakannya dibina setelah Tanah Melayu dijajah. Malah kebanyakan bangunan-bangunan tersebut direkabentuk dan dibina oleh orang-orang Eropah.

Contohnya Bangunan Sultan Abdul Samad di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan pelancong direkabentuk oleh arkitek British A.C. Norman. Di Kuala Kangsar di mana saya bersekolah menengah terdapat Masjid Ubudiah yang begitu indah tetapi ia juga hasil rekabentuk arkitek Inggeris, A.B. Hubback, yang juga arkitek untuk Stesyen Keretapi Kuala Lumpur.

Tetapi tidakkah terdapat bangunan-bangunan yang lain? Mustahil tidak ada kerana telah wujud kerajaan-kerajaan Melayu yang hebat bukan sahaja di Tanah Melayu tetapi di seluruh Nusantara sebelum tibanya penjajah Eropah. Kesultanan Melaka yang menguasai wilayah yang luas merangkumi negara-negara Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura sudah tentu memiliki sistem pentadbiran yang kompleks dan tersusun. Ianya sudah tentu disokong oleh tenaga kerja yang ramai dan mereka sudah pasti tidak ditempatkan di bawah pokok atau di tempat yang lapang.

Tetapi di manakah bangunan-bangunan mereka? Di manakah Istana Sultan, pejabat Bendahara, pejabat Laksamana atau pejabat Syahbandar? Kita tidak nampak semua itu di Melaka hari ini kecuali replika Istana tersebut. Yang ada hanya bangunan peninggalan penjajah seperti kota A'Famosa, bangunan Stadhuys yang dibina penjajah Belanda dan gereja-gereja.

Negara kita telah menjadi mangsa kepada penjajah-penjajah yang datang dengan dendam Perang Salib untuk merompak negara kita dan memusnahkan sistem kenegaraan dan kemasyarakatan Pribumi tempatan. Mereka tidak datang sekadar didorong oleh 3G ( Gold, gospel and glory ) atau kekayaan, agama dan nama tetapi datang dengan dendam sejak Zaman Pertengahan ( Middle Ages ) akibat pertentangan di antara dunia Barat dan dunia Islam.

Menurut kajian Dr Kamarul Afizi Kosman dan Dr Noor Aisyah Mokhtar ( 2019 ), Tome Pires ( 1465 - 1540 ) seorang pengembara dan Duta Raja Portugis ke negara China di abad ke 15 telah membandingkan Bandaraya Melayu Melaka dengan pusat perdagangan penting Eropah, Venice di Itali. Menurut penelitian Pires, Melaka setanding dengan Venice dari segi kemakmuran dan pembangunan di mana ia boleh mengancam kedudukan Venice sebagai pusat perdagangan utama dunia. Justeru itu Melaka merupakan bandaraya yang dipenuhi dengan bangunan-bangunan batu bata dan bukan kayu semata-mata seperti yang kebanyakan kita sangkakan hari ini.

Lukisan pengintip-pengintip ( spies ) Portugis dan Belanda juga telah merekodkan keadaan sebenar bentuk fizikal bandaraya tersebut. Lukisan-lukisan itu adalah tepat kerana ia bertujuan untuk memberi maklumat yang terperinci sebelum sebarang tindakan ketenteraan. Mereka menggambarkan sebuah bandaraya di mana terdapat Istana, Masjid Agung, bangunan-bangunan pentadbiran dan rumah-rumah yang hebat dibina daripada batu bata atau batu. Seorang ahli sejarah Portugis, Gaspar Coreira yang hidup pada akhir abad ke 15 dan awal abad ke 16 melaporkan terdapat sebuah masjid besar yang dibina dengan bongkah batu dan bangunan-bangunan batu yang lain. Tetapi semua itu telah tiada.

Ke mana semuanya bangunan-bangunan itu? Sudah tentu untuk memberi laluan kepada kota dan bangunan-bangunan baru penjajah. Kajian Dr Kamarul dan Dr Noor Aisyah juga menjumpai maklumat di dalam dokumen-dokumen Portugis bahawa kota A'Famosa turut dibina dengan batu granit dan batu-batu dari runtuhan masjid, batu-batu nisan dan bangunan-bangunan lain. Tidak hairan bangunan-bangunan asal Bandaraya Melayu Melaka telah hilang untuk selama-lamanya. Penjajah tidak akan membiarkan warisan anak negeri kekal.

Apakah kesan hilangnya warisan ini? Akhirnya terdapat mereka yang menganggap hanya penjajah yang telah membawa tamaddun ke Tanah Melayu. Sebelum kedatangan orang asing ke Nusantara seolah-olah tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan di negara ini. Mereka menolak segala pencapaian Pribumi sebelum kedatangan penjajah. Segala warisan, peninggalan dan sejarah telah dipadam atau ditulis semula oleh penjajah.

Adakah kejahilan yang menyebabkan ada yang menolak penggunaan tulisan Jawi? Adakah kejahilan juga yang menyebabkan ada yang menolak usaha untuk memperkasakan peranan Mahkamah Syariah? Mungkin ada yang lupa atau sengaja lupa terdapat bukti akan penggunaan undang-undang Islam dan peranan tulisan Jawi di negeri-negeri Melayu. Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 702 Hijrah atau 1303 Masehi yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Dunia menerangkan tentang Islam sebagai agama rasmi dan hukum-hukum Islam adalah buktinya. Batu bersurat itu bertarikh lebih 200 tahun sebelum penjajah mula bertapak di Tanah Melayu.

Generasi hari ini perlu mengetahui dan memahami sejarah negara kita. Kita semua perlu menghargai warisan kita. Tanpa pengetahuan dan kefahaman kita amat mudah untuk kita dipermainkan oleh mereka yang mempunyai agenda tersendiri. Walaupun kita dijajah selama 446 namun kita mempunyai sejarah yang boleh dibanggakan. Perjuangan untuk membebaskan tanah air yang mengorbankan begitu ramai nyawa anak negeri telah berjalan berterusan tanpa henti sejak 1511 hingga 1957. Jangan kita lupa akan kenyataan ini.


Dato' Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan
28 Mei 2021

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo