NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Adakah perpaduan dipupuk di sekolah Cina?


Wujudkah perpaduan melalui sukan dan persatuan di sekolah Cina, SJKC, SMJKC dan SPC?

APABILA sekolah aliran kebangsaan membuat sedikit ‘kesilapan’, seperti yang berlaku di SMK Dato’ Bentara Luar, Johor, heboh satu dunia. Tetapi apabila sekolah vernakular (Cina) membuat banyak kesilapan, kenapa semua senyap? Kenapa orang tidak nampak? Kenapa biarkan sahaja? Kenapa tidak mengadu?

Adakah kita berlaku adil sebenarnya? Kasihan saya kepada guru besar dan pengetua serta guru-guru sekolah aliran kebangsaan, sama ada di peringkat rendah atau menengah. Saban hari pecah kepala fikirkan bagaimana untuk satukan murid-murid di peringkat menengah, yang sudah dipisahkan sejak kecil, di SK dan SJKC (T).

Namun, bila berlaku kononnya ‘kesilapan’, pengetua dan guru-guru yang kena. Nasib cikgu agaknya.


Insiden bermula apabila, SMK Dato’ Bentara Luar mengeluarkan notis kepada pelajar Tingkatan 1, meminta mereka memilih tiga kegiatan kokurikulum. Bagaimanapun ia mengundang perhatian ultra kiasu, setelah beberapa kegiatan dihadkan kepada kaum dan jantina tertentu.

Antaranya, hanya pelajar Melayu dibenarkan memilih sukan bola sepak dan sepak takraw manakala bola jaring untuk pelajar perempuan Melayu sahaja. Sukan bola keranjang dan ping pong pula dihadkan kepada pelajar lelaki dan perempuan Cina sahaja.

Jika direnung secara mendalam, itulah realitinya. Mana ada murid Cina hari ini suka kepada bola sepak atau sepak takraw. Rata-rata memilih bola keranjang, ping pong atau badminton jika ditawarkan.

Hanya kerana sedikit ‘kesilapan’ yang bukan pun menjadi dasar, semua menuding jari kepada sekolah aliran kebangsaan, kononnya memisahkan kaum. Sukan atau persatuan sepatutnya menyatukan bukan memisahkan.

Semua orang tahu itu, sukan sepatutnya menjadi medan interaksi kaum atau perpaduan. Tidak dinafikan, itulah hakikatnya. Tetapi kita kena berpijak di bumi nyata. Jangan terlalu bersentimen atau terlalu berpolitik.

Bandingkan, bagaimana dengan institusi pendidikan Cina melibatkan SJKC, SMJKC dan sekolah persendirian Cina serta institusi Pendidikan tinggi seperti KUTAR, UTAR, Kolej Universiti New Era, Kolej Universiti Han Chiang, Universiti Wawasan dan lain-lain yang rata-rata terdiri daripada satu kaum sahaja, kaum Cina.

Ini bermakna, segala bentuk sukan dan persatuan, apa jua namanya, hanya terdiri daripada satu kaum sahaja. Adakah insitusi pendidikan jenis ini memupuk perpaduan? Adakah semua kegiatannya disertai semua? Bagaimana ia boleh berlaku? Fikirkanlah.

Adakah sukan dan persatuan institusi Pendidikan ini melibatkan semua kaum atau hanya satu kaum sahaja? Apakah perpaduan dapat dipupuk saban hari melihat warna yang sama? Kenapa institusi pendidikan kebangsaan yang dimangsakan?

Bercanggah atau tidak dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan?

Sedar atau tidak, polarisasi begitu jelas berlaku di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Semua ini akibat daripada pemisahan yang berlaku sejak kecil, terbawa-bawa hingga ke pengajian tinggi.

Di Universiti awam misalnya, cuba tengok di dewan kuliah, tempat makan, sukan atau bila mereka berjalan berkumpulan. Kita tidak nampak warna warninya. Satu warna sahaja yang kelihatan. Keadaan university swasta lagi tenat.

Inilah akibat daripada pembawa apabila kita dipisahkan sejak kecil. Lebih malang lagi, universiti dan koleh universiti dibenarkan beroperasi berasaskan kaum, atau dipunyai oleh parti politik, seperti MCA (KUTAR, UTAR) dan Gerakan (Universiti Terbuka Wawasan). Boleh dikatakan semua pelajarnya 95 peratus adalah Cina.


Justeru, sudah sampai masanya sistem Pendidikan negara dikaji semula, jika benar-benar kita ingin memupuk perpaduan atau membina negara bangsa.

Baru-baru ini saya naik e-hailing yang dipandu oleh anak muda Cina yang datang daripada aliran sekolah kebangsaan. Dia kenal saya, maklumlah penceramah kontroversi, popular pula (perasan).

Memang lain perwatakannya Cina daripada SK ini. Amat mesra, bahasa Melayunya fasih. Muda mendekati dan didekati. Dalam perbualan, beliau bersetuju dengan perjuangan dan penulisan saya. Beliau begitu kesal kerana kita dipisahkan dengan sekolah berasaskan kaum.

Beliau turut mengeluh dengan sekolah aliran vernakular kerana akan mewujudkan ‘gap’ atau jurang antara kaum di negara ini. Sekolah sepatutnya ada satu sahaja menjadi pilihan semua kaum. Namun, keadaan tidak berlaku.

Beliau berkata, memang ramai orang Cina yang tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik. Interaksi akan menjadi lebih terhad.

Cuba bayangkan bagaimana keadaan aktiviti sukan dan persatuan di sekolah Cina. Apa jua sukan dan nama persatuan, semua dibolot murid Cina. Cuba pergi tengok sekolah Cina, ada atau tidak, padang bola sepak atau sepak takraw. Memang tidak ada, kerana itu bukan pilihan mereka. Padang sukan apa yang ada? Tak payahlah saya sebut, pergilah tengok.

Mungkin alasannya selepas saya bangkitkan isu, mereka akan kata, kawasan terhad. Tetapi, percayalah, bola sepak dan takraw sukan pilihan orang Cina kerana ia telah disinonimkan dengan Melayu.

Saya mohon buatlah kajian di semua sekolah Cina, dan lihat semua sukan dan persatuan mereka hanya satu kaum sahaja. Jangan asyik melihat kepada sekolah aliran kebangsaan. Kasihan pengetua dan guru-gurunya.

Sedarlah wahai pemimpin negaraku, apabila kita dipisahkan sejak daripada kecil, di sekolah rendah, sebenar ketika berada di sekolah menengah, mereka sudah tidak bercampur mesra lagi. Masing-masing kaum dengan hal masing-masing.

Jika ada banyak SMJKC sama banyak seperti bilangan SJKC (1300 buah), saya tidak fikir Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) akan menjadi pilihan orang Cina.

Kerana SMJKC dan SPC tidak banyak, hanya ada SMK, orang Cina tidak ada pilihan melain terpaksa berada di sekolah aliran kebangsaan. Namun, bila berada di SMK, nampak salah sahaja. Ketika anak mereka berada di SJKC, tidak pula banyak songelnya, hanya kerana mereka adalah sama. Sukan dan persatuan sama. Membina negara dalam negara.

Sedarlah, bahawa keadaan kita, sangat berbeza dengan zaman dahulu, sebut sahaja sukan bolasepak, terbayang kita, betapa berwarna-warninya. Kita ada Mokhtar Dahari, Arumugam, Santokh Singh, James Wong, Soh Chin Aun, dan ramai lagi orang Melayu dan bukan Melayu. Hikmahnya, disebabkan warna-warni ini, bolasepak kita dulu, bertaraf dunia. Sekarang bagaimana?

Dalam dalam bidang seni, kita ada Alley Cat, D.J Dave, Francisca Peters, Kenny Remy dan Martin, Andre Goh, Lenny Lim Mui Lan dan lain. Begitu fasih mereka menyanyikan lagu-lagu Melayu. Andre Goh dengan dondang sayang lagi. Kenapa hari ini tiada? Jawapan mudah, soal bahasa dan penghayatan.

Kenapa hari ini sukan bola sepak tidak lagi menjadi pilihan orang Cina? Jangan tanya saya. Buatlah kajian. Nak tahu erti perpaduan, tengok bola sepak, lepas baharu sukan lain. Sebab bolasepak perlukan kerjasama ramai untuk menang, bukan macam sukan perseorangan. Nanti bila saya buka mulut lagi, ramai yang akan menuduh saya rasis.

Nak saja saya jawab, rasis apa? Saya orang Cina, bercakap tentang Cina. Mahukan Cina sama-sama membina negara bangsa bertunjangkan kepada sejarah dan perlembagaan negara. Itu sahaja. Saya tidak mahu berpolitik kerana berpolitik tidak pernah menguntungkan agama, bangsa dan negara. Malah, membawa negara ke arah kehancuran.

Ridhuan Tee Abdullah


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo