TARIKH 15 Mei hari ini adalah ulang tahun ke-73 memperingati peristiwa Nakbah Palestin, yang menjadi detik hitam buat umat Islam sejak tahun 1948 yang lalu. Pada hari ini, kota Baitul Maqdis, yang merupakan qiblat pertama serta tanah yang menjadi saksi peristiwa Israk Mikraj telah jatuh ke tangan kuffar, dan kemudianya sedikit demi sedikit terjajah, dengan sokongan dan bantuan luar terutamanya dari Amerika Syarikat yang kononnya mengaku sebagai ‘Polis Dunia’.
Tragedi ini bermula dengan termeterainya Deklarasi Balfour 1917, yang mengundang kemasukkan kaum Yahudi beramai-ramai ke bumi Palestin sehingga mereka naik lemak, menjadi tuan tanah di negara orang. Tidak cukup dengan itu, Zionis telah bertindak merampas Jerusalem Timur melalui Perang Enam Hari 1967, dan meluluskan Jerusalem Act di Knesset dan Jerusalem Embassy Act oleh USA pada 1995. Mereka memberi isyarat pada dunia pada bahawa Baitul Maqdis adalah milik mereka, tanpa mereka menghormati Resolusi UNSC 478 pada 1980 dan 2334 pada 2016 bahawa pendudukan Israel di Jerusalem Timur adalah tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Hakikatnya, peristiwa ini berlaku apabila kuasa politik umat Islam, khususnya antara negara-negara Arab bercerai berai. Fahaman nasionalisme yang ditanam dan diserap oleh penjajah pada waktu itu, menyebabkan berlakunya pengkhianatan dan pertelingkahan, sehingga termeterainya Deklarasi Balfour. Fahaman nasionalisme dan sosialisme Arab ini akhirnya meranapkan terus pemerintahan Khilafah Islamiyyah terakhir, sehingga tiada lagi kuasa yang mampu membela umat Islam, khususnya Palestin yang ditindas Zionis akibat keangkuhan sendiri.
Sewaktu kenyataan ini ditulis, lebih 100 orang telah syahid, termasuk kanak-kanak dan wanita akibat kezaliman Zionis laknatullah. Dijangka angka korban akan terus bertambah dek kegilaan Zionis mengebom dan menyerang kawasan penempatan awam tanpa henti.
Tiada daya dan upaya buat kita yang jauh beribu batu untuk membantu mereka secara fizikal di sana. Justeru, selaku umat Islam yang cintakan saudaranya, kami Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa dan menyeru seluruh masyarakat Malaysia supaya:
i. Menyahut dan menjayakan kempen ynag telah dilancarkan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah menerusi kempen Aid4Palestine;
ii. Membaca qunut nazilah setiap kali solat fardhu, dan memohon Jabatan-jabatan Agama Islam Negeri supaya dapat mengeluarkan arahan yahg sama bagi semua masjid dan surau menyahutnya; dan
iii. Supaya semua ahli-ahli PAS menggerakkan kempen dan promosi untuk menjayakan secepat mungkin sasaran minimum RM1 juta bagi disalurkan ke Palestin sebagaimana yang dinyatakan oleh YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Pemuda PAS menyeru semua pihak, samada pemimpin-pemimpin politik, orang ternama, orang berpengaruh (influencer) dan rakyat untuk bersatu hati membina perpaduan serta demi meneruskan kelangsungsan sejahteraan negara Malaysia khususnya. Terjadinya Nakbah adalah kerana tiadanya kesatuan antara umat, sehingga musuh berjaya mengambil peluang ke atas perpecahan ummah.
Darah yang mengalir di Palestin adalah darah kita, luka mereka adalah luka kita. Setiap nyawa yang terkorban, adalah kehilangan untuk kita. Moga Allah bersama para mujahid dan muslimin, dan memberi kemenangan ke atas mereka.
Birruh, Biddam, Nafdika Ya Aqsa!
YB Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional
15 Mei 2021 | 3 Syawal 1442 –
No comments
Post a Comment