KOTA KINABALU: Penganalisis politik berpendapat, adalah tidak mustahil Gabungan Rakyat Sabah (GRS) didaftarkan seperti mana dilakukan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekiranya para pemimpin dalam gabungan itu bertekad mendahului mandat rakyat.
Tony Paridi Bagang daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, sudah tiba masanya makna autonomi diterjemahkan dalam parti-parti semenanjung yang bertapak di Sabah khususnya GRS yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
”Jika para pemimpin dalam GRS bertekad untuk mendahului mandat rakyat selain mempersembahkan pakatan politik yang kukuh serta berpaksi kepada kepentingan negeri dan rakyat Sabah, tidak mustahil GRS dapat didaftarkan seperti GPS,” katanya kepada FMT.
Tony berkata, walaupun hubungan antara Umno dan PPBM khususnya di semenanjung kini dingin, namun dalam konteks Sabah, ianya boleh dijadikan sebagai tauladan jika kompromi antara Umno dan PPBM dapat dicapai dalam GRS.
Tony Paridi Bagang, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
”Hal ini wajar demi kepentingan rakyat dan negeri dengan melangkaui kepentingan parti masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah berkata, hubungan antara Umno, PPBM dan juga PAS di semenanjung terlalu rumit namun parti-parti dalam GRS dilihat tidak mahu ”terperangkap” dalam keadaan itu.
Katanya, kenyataan Pengerusi Kelab Penyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Salleh Said Keruak yang menimbulkan persoalan sama ada GRS akan didaftarkan seperti GPS adalah satu bayangan bahawa gabungan itu akan menggunakan platform GRS bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
”Sekiranya kita melihat dari ”kaca lensa” politik semenanjung, ia (hubungan antara parti dalam GRS) pastinya sukar, namun jika kita ambil dari konteks Sabah, saya yakin tiada yang mustahil.
”Apa yang jelas, GRS mahu menggunakan model GPS malah saya melihat sesuatu lebih jauh kerana ada suara-suara yang atau bayangan bahawa GRS mahu bekerjasama erat dengan GPS untuk membentuk blok Borneo walaupun jumlah keseluruhan kerusi parlimen ada 57 iaitu 25 di Sabah dan 32 di Sarawak,” katanya.
Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya pula berpendapat GRS mungkin berdepan cabaran sukar untuk mendaftarkan gabungan berkenaan berikutan hubungan dingin antara Umno dan PPBM ketika ini.
Katanya, berbeza seperti di Sawarak, GPS adalah terdiri daripada parti berteraskan tempatan dan lebih mudah diterima oleh penduduk setempat.
”Komponen utama dalam GRS terdiri daripada BN, Star, SAPP, PBS serta PPBM dan perikatan ini adalah salah satu perikatan politik terbesar di Sabah.
”Bagaimanapun untuk mengikuti jejak Sarawak yang telah berjaya mendaftarkan GPS akan sukar tanpa ”political will” sesama mereka.
”Hal ini kerana GPS terdiri daripada gabungan parti berteraskan tempatan, jadi lebih mudah diterima oleh penduduk setempat dan ia berbeza dengan GRS yang membabitkan parti semenanjung yang bertapak di Sabah bersama parti tempatan di situ,” katanya.
Awang Azman berkata, cabaran besar yang bakal dihadapi GRS adalah soal pengagihan kerusi kerana masing-masing mahu menjadi dominan dalam politik negeri Sabah.
”Ianya juga berbeza dengan parti seperti Warisan kerana mereka dianggap lebih berjiwa tempatan berbanding parti luar yang bertapak di sabah,” katanya.
Terdahulu semalam, Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan menimbulkan persoalan sama ada gabungan berkenaan akan didaftarkan seperti mana Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Selain itu, beliau turut membayangkan kemungkinan GRS akan menggunakan lambang sendiri untuk mengekalkan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“PRN tahun lalu menyaksikan kemenangan berpihak kepada GRS dan ini adalah mandat dan amanah jutaan rakyat Sabah yang perlu dipertahankan.
“Persoalan yang berbangkit, adakah mungkin selepas ini GRS boleh didaftarkan sebagaimana GPS? Adakah mungkin di masa hadapan GRS akan menggunakan lambang sendiri untuk mengekalkan mandat pada PRN seterusnya?
“Ini merupakan persoalan menarik, namun segala pilihan bergantung kepada kita semua yang berada dalam satu pasukan untuk sentiasa memenuhi kehendak rakyat,” katanya menerusi catatan di blog beliau.
https://www.mindarakyat.net/2021/04/tidak-mustahil-grs-akan-didaftarkan.html
https://www.mindarakyat.net/2021/04/tidak-mustahil-grs-akan-didaftarkan.html
No comments
Post a Comment