NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rakaman Audio Perbualan Mirip Suara Zahid-Anwar Tular?

Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

7 APRIL: Satu audio rakaman perbualan yang didakwa mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tular di media sosial sejak malam tadi.

Dalam perbualan menerusi audio bertajuk ‘Konspirasi Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim terdedah’ yang dimuat naik di laman sosial Youtube itu, kedengaran suara yang mirip kepada dua pemimpin terbabit berbincang mengenai ucapan dan keputusan dibuat ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, baru-baru ini.

Mereka turut membincangkan mengenai isu peletakan jawatan Menteri dan Timbalan Menteri UMNO daripada kabinet.

Perbincangan itu juga menyentuh mengenai langkah perlu diambil sekiranya Yang di-Pertuan Agong memperkenankan untuk UMNO menghadap baginda.

Langkah itu termasuk keperluan mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Ketika perbincangan menerusi audio berdurasi 4 minit 17 saat itu, kedengaran kedua-dua pemimpin saling memuji antara satu sama lain.

“Ha, itu I (saya) tengok (dengar), congratulationslah (tahniahlah). Aku dengar ucapan, bukan main, you yalah dengan orang duk dengar (gelak).

“You (kamu) tahu siapa cikgu saya kan?

“But goodlah (tapi baguslah), good, good. I am very impressed (saya sangat kagum), very proud of you (sangat bangga dengan kamu).

“Thank you (terima kasih). Cikgu saya yang ajar ucapan ini orang yang saya tengah cakap inilah (gelak),” kata kedua-dua pemimpin itu.

Audio itu kini menimbulkan ‘heboh’ dan persoalan sama ada sahih suara terbabit milik dua pemimpin berkenaan.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengatakan wujud rundingan awal antara UMNO dan PKR, berhubung kerjasama antara dua parti itu.

Bagaimanapun, pada persidangan PAU, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pendirian parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah tetap dengan keputusan MKT, iaitu ‘No Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), No Anwar, No DAP’.

Katanya, tiada perbincangan diadakan antara kepimpinannya dengan mana-mana parti itu, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi, malah UMNO tetap akan bertanding menggunakan panji Barisan Nasional (BN). –

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo